Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas Pengarang Kumpulan Harian Metro, Ahmad Puad Onah meninggal dunia akibat sakit jantung di kediamannya di Demai Alam di Shah Alam, hari ini.

Ahmad Puad, 62, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 9.30 pagi di sisi isteri dan empat orang anaknya.

Anak Allahyarham, Asrul, 27, ketika ditemui di kediamannya, berkata arwah bangun untuk bersahur bersama ahli keluarga sebelum sambung tidur.

Menurutnya, ayahnya sudah lama menghidapi sakit jantung sebelum keadaannya menjadi serius pada Februari lalu selepas pulang melancong bersama keluarga ke Hong Kong.

Jenazah Allahyarham dikafankan serta disembahyangkan di Surau Al-Abrar, Denai Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, selepas solat Asar.

Turut menziarahi jenazah Allahyarham ialah rakan-rakannya dalam dunia kerwartawanan termasuk Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang, bekas Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mior Kamarulbaid Shahid, bekas Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Datuk A Kadir Jasin dan Penolong Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan.

Sepanjang kerjayanya, Allahyarham pernah bertugas sebagai wartawan di Bernama dan pernah memegang jawatan Timbalan Pengurus Berita/Sukan TV3.

Allahyarham turut menjadi penggiat filem apabila menjadi Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Perfileman Malaysia dan Pengurus Besar Grand Brillance Sdn Bhd.

- Bernama

Lihat Komen
ADS