Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Perubahan kerajaan tak akan banyak ubah trend pertumbuhan ekonomi'
Diterbitkan:  Jun 13, 2018 6:03 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Moody's Investors Service meramalkan pertukaran kerajaan Malaysia tidak akan banyak mengubah trend pertumbuhan untuk jangka masa terdekat.

Dalam laporannya hari ini, agensi penarafan itu berkata pemansuhan GST boleh meningkatkan perbelanjaan peribadi untuk jangka pendek.

"Bagaimanapun semakan semula terhadap projek infrastruktur besar juga boleh menyebabkan sebarang peningkatan dalam pelaburan menjadi lebih tersebar berbanding jangkaan Moody's sebelum ini," katanya.

Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam trend menurun, daripada 6.98 peratus pada 2010 kepada 4.2 peratus pada 2016.

Berhubung kesan pemansuhan GST, Moody's menganggap langkah itu sebagai "kredit negatif" dan akan meningkatkan kebergantungan kerajaan terhadap hasil berkaitan minyak selain menyempitkan asas cukai.

"Kami menjangka hasil yang hilang akibat pemansuhan cukai itu pada kadar 1.1 peratus KDNK tahun ini - walaupun dengan sedikit imbalan - dan 1.7 peratus selepas 2018; terus menekan kekuatan fiskal Malaysia," katanya.

Agensi itu turut menjangka pengembalian subsidi petrol bersasar sebagai "kredit negatif" dan tidak bagus untuk kedudukan fiskal negara, pada masa sama meningkatkan pendedahan kerajaan terhadap perubahan harga minyak.

Lihat Komen
ADS