Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz rayu rakyat Kedah bayar tunggakan cukai tanah

Kerajaan negeri merayu kepada rakyat Kedah untuk menjelaskan bayaran tunggakan cukai tanah bagi membolehkan hasil pendapatan diperolehi untuk menguruskan kewangan negeri dengan lebih teratur.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata apabila berlaku terlalu banyak tunggakan pembayaran ia akan menjejaskan hasil pendapatan kerajaan negeri dan sekaligus tidak dapat digunakan untuk keperluan rakyat.

"Apabila rakyat tidak menjelaskan bayaran, hasil pendapatan kerajaan negeri akan terjejas dan akan menyebabkan perbelanjaan yang sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh yang telah ditetapkan tidak dapat dilaksanakan.

"Kita tahu ada yang tidak bayar kerana tidak mampu tetapi ada juga yang bila kita siasat dan kaji, mereka ini mampu tetapi tidak mahu menjelaskan bayaran sedangkan di rumah kereta ada dua, tiga buah," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

Kewangan negeri tidak sempurna

Beliau berkata kewangan negeri sekarang tidak berada pada tahap sempurna dengan pendapatan adalah terhad sedangkan kos perbelanjaan masih meningkat, jadi rakyat dirayu untuk menunaikan tanggungjawab menjelaskan semua tunggakan cukai yang ada.

"Kita harap rakyat dapat laksanakan tugas mereka untuk membantu kerajaan Kedah kerana sekarang kerajaan negeri dituntut untuk membayar hutang kepada kerajaan pusat. Bayangkan satu pihak kita tidak dapat bayaran, sementara satu lagi pihak menuntut bayaran.

"Sebelum ini surat peringatan dan amaran telah dikeluarkan tetapi kita bangkitkan perkara ini kerana ingin beri tempoh kepada mereka untuk membuat bayaran dan sekiranya gagal kita akan lihat tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata kerajaan negeri juga bersetuju membangunkan sektor pelancongan di Kedah dengan mengenal pasti kawasan Lembah Bujang di Merbok sebagai destinasi baharu yang hendak dibangunkan secara meluas itu.

"Hasil perbincangan, kita setuju untuk menjadikan Lembah Bujang sebagai salah satu sektor pelancongan di Kedah dan kita akan kemukan cadangan ini kepada kerajaan pusat untuk menjadikan projek ini sebagai projek nasional dan bukan hanya untuk negeri Kedah.

"Sebelum ini kita telah menganjurkan lawatan dikalangan pakar-pakar dalam bidang pelancongan untuk mendapatkan idea yang bernas bagi membangunkan kawasan tersebut yang mana dilihat mempunyai potensi besar untuk memberikan hasil pendapatan pelancongan kepada kerajaan negeri dan pusat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz yakin Pakatan Harapan (HARAPAN) dapat terus kekal menerajui kerajaan negeri walaupun isu pelantikan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum selesai.

Mukhriz yang diminta mengulas mengenai perjumpaan bersama tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) semalam berkata dia sememangnya mengadakan pertemuan untuk membincangkan pelbagai perkara termasuk mengenai isu pelantikan speaker.

“Saya berjumpa dengan semua orang, PAS pun saya jumpa untuk bincang macam-macam perkara. Bagi isu pelantikan speaker ini kita tunggu dan lihat tetapi saya tengok saya tidak ‘cuak’ jadi adalah caranya dan ia positif,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS