Berita Malaysiakini

Umno Johor mahu Zahid tarik diri, beri laluan pada Ku Li

Lu Wei Hoong  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ketua Umno Tebrau Maulizan Bujang menyarankan agar pemangku presiden parti mereka Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti akan datang.

Maulizan berkata demikian sebagai mencadangkan agar Ahmad Zahid memberi laluan kepada veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang menurutnya merupakan calon paling sesuai menerajui Umno bagi berdepan dengan Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Tengku Razaleigh pada dasarnya sanggup memikul tanggungjawab ini bagi membantu proses pemulihan Umno.

"Namun begitu, alangkah elok sekiranya Ahmad Zahid berlapang dada memberi laluan kepada beliau (Tengku Razaleigh) dan pemimpin lain sepertimana pengorbanan yang dilakukan oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang tidak bertanding agar Umno dilihat berubah.

"Saya berharap agar rakan-rakan senior saya di peringkat tertinggi parti dapat mengatur langkah memujuk Ahmad Zahid," katanya dalam kenyataan untuk Malaysiakini.

Maulizan turut menyorot bahawa anggota Umno tidak akan melupakan jasa dan budi Ahmad Zahid.

Separuh ketua jumpa Ku Li

Setakat ini, Ahmad Zahid merupakan satu-satunya calon yang telah disahkan akan bertanding untuk jawatan presiden dalam pemilihan Umno 30 Jun depan.

Maulizan juga berkata awal hari ini dia telah berjumpa dengan Tengku Razaleigh, atau dikenali sebagai Ku Li, bagi meyakinkan veteran Umno itu untuk bertanding jawatan presiden.

Jelasnya, dia difahamkan bahawa lebih separuh ketua bahagian termasuk pengerusi perhubungan dan kepimpinan akar umbi telah berjumpa Tengku Razaleigh bagi memujuknya agar menyahut cabaran itu.

"Pertemuan demi pertemuan diadakan atas kehendak pemimpin pemimpin Umno dan bukan atas kehendak Tengku Razaleigh.

"Semua yang hadir merayu agar Tengku Razaleigh menawarkan diri bertanding sebagai presiden Umno," katanya.

Tambah Maulizan lagi, dia tidak mengenepikan jasa dan pengorbanan Ahmad Zahid selaku naib presiden Umno sebelum ini.

Namun, katanya, Umno memerlukan seorang pemimpin yang boleh diyakini dapat memulihkan dan mengembalikan sokongan rakyat kepada parti itu.

"Secara peribadi, saya sependapat dengan rakan-rakan yang lain serta majoriti ahli Umno dan orang ramai yang mahukan Umno memilih pemimpin yang dilihat boleh bersaing dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahum dan pemimpin HARAPAN lain.

"Kesilapan kita memilih akan melambatkan proses pemulihan Umno malah akan terus melemahkan Umno," katanya.