Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
150 CCTV dipasang bagi kenal pasti pemandu guna laluan kecemasan

Pemantauan lebih rapi termasuk melalui kamera litar tertutup (CCTV) akan dilaksanakan di Lebuh Raya Utara Selatan sepanjang musim perayaan ini bagi mengenal pasti pengguna lebuh raya yang melanggar peraturan terutama menyalahgunakan laluan kecemasan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata 150 buah CCTV pada jarak setiap 10 kilometer telah dipasang di sepanjang lebuh raya oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi tujuan itu.

"Pihak PLUS akan memantau semua CCTV melalui pusat kawalan dan sekiranya ada pemandu yang menyalahgunakan lorong kecemasan mereka akan zoom in untuk dapatkan maklumat kenderaan dan seterusnya melaporkannya kepada JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) yang akan mengeluarkan saman," katanya dalam sidang media Tinjauan Trafik Lebuhraya Utara-Selatan Sempena Hari Raya Aidilfitri di Persada PLUS, di Kuala Lumpur, hari ini.

Loke berkata sejak Ops Bersepadu sempena Hari Raya bermula 7 Jun lepas, sebanyak 83 saman membabitkan penyalahgunaan lorong kecemasan telah dikeluarkan.

Dalam pada itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang pemandu yang menyalahgunakan lorong kecemasan termasuk melalui rakaman kamera kereta ataupun telefon bimbit supaya melaporkannya kepada JPJ untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu Loke berkata sejak 8 Jun sehingga semalam (12 Jun) PLUS merekodkan 190 kes kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan berbanding 220 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam tempoh itu, hanya dua kes kematian direkodkan berbanding 10 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Sementara itu, beliau berkata, bermula hari ini sehingga esok (13 hingga 14 Jun) kenderaan berat termasuk lori pengangkut kenderaan, lori balak dan lori mengangkut bahan binaan dilarang memasuki lebuh raya bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Selain itu, pihak PLUS juga akan mengambil beberapa langkah termasuk tinjauan udara melalui helikopter di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan dan membuka laluan kontra di beberapa tempat sekiranya keadaan memerlukan.

Terdahulu, Loke bersama pihak PLUS melakukan tinjauan udara selama satu jam di Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Tapah dan di sekitar Jalan Duta bagi mengetahui kedudukan aliran lalu lintas.

Setakat ini, keadaan lalu lintas masih terkawal dan pihaknya menganggarkan lebih kurang dua juta kenderaan akan memasuki Lebuh Raya Utara- Selatan bermula petang tadi. kata beliau.

Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Ismail Md Salleh, Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail dan Pengarah Penguatkuasa JPJ Datuk Ahmad Nasir Abdul Gani.

- Bernama

Lihat Komen
ADS