Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia berminat kerjasama dengan Turki bantu pelarian

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata Malaysia berminat untuk bekerjasama dengan Turki bagi membantu pelarian yang meninggalkan tanah air mereka atas sebab-sebab ekonomi.

Selepas menerima kunjungan hormat daripada Duta Turki ke Malaysia Dr Merve Safa Kavakci pada Isnin, beliau berkata penyelesaian jangka panjang perlu untuk membantu mereka dari segi ekonomi supaya mereka kembali ke negara asal mereka.

“Mungkin beberapa dasar boleh disesuaikan dengannya,” kata beliau dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Wan Azizah berkata Turki dan Malaysia perlu kukuh daripada segi ekonomi untuk membantu ummah.

“Kita perlu menjadi negara yang kuat, bersatu dan membantu antara satu sama lain untuk membantu pihak lain di kawasan-kawasan yang menghadapi perbalahan dan menjadikan tempat ini sebagai tempat yang lebih baik untuk semua,” kata beliau.

Bantu yang memerlukan

Sementara itu Duta Turki itu bersetuju sambil menyatakan harus ada pendekatan dua penjuru untuk tujuan ini.

“Malaysia dan Turki yang mempunyai kedudukan yang kukuh, bebas dari segi ekonomi perlu, dengan peningkatan kerjasama antara kedua-dua negara sebagai dua kuasa serantau.

"Apabila kita berkembang dengan pesat, kita berada dalam kedudukan lebih baik untuk membantu mereka yang memerlukan,” kata beliau.

Semasa kunjungan hormat itu, Wan Azizah mencadangkan kerjasama dalam keselamatan siber dan kecerdasan buatan (artificial intelligent) bagi kedua-dua negara kerana dunia hari ini menghadapi ancaman baharu dalam bentuk ancaman siber.

Dr Kavakçı bersetuju sambil menyatakan adalah baik bagi negara-negara untuk menghasilkan teknologi sendiri dalam bidang ini bagi memastikan mereka tidak diancam oleh pihak lain.

Duta Turki itu berkata Turki dan Malaysia berminat untuk bekerjasama dalam pemindahan teknologi, pendidikan, pertahanan, pembinaan, pembangunan industri makanan organik dan umum serta tekstil.

Beliau berkata adalah tugas penting baginya untuk memastikan Malaysia dan Turki menjadi lebih rapat dalam setiap aspek kerjasama.

“Perdagangan kita adalah sekitar USD3 bilion bagi pihak Malaysia dan lebih USD300 juta bagi pihak kami. Ini perbezaan besar tetapi Insya Allah, kita boleh bekerjasama untuk mewujudkan perdagangan yang sama rata dan meningkatkan perdagangan.

“Kami mahu membawa industri Turki dan industri Malaysia bersama-sama, bukan untuk satu pihak menguasai yang lain, tetapi untuk bekerjasama, untuk bergabung dalam pemindahan teknologi dan lain-lain,” kata beliau.

Tingkat kerjasama

Sementara itu, Dr Kavakçı berkata Turki berharap untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam bidang kesihatan dan bidang akademik dengan Malaysia dan menjalin kerjasama dalam teknologi inovatif dan penjanaan ilmu pengetahuan.

Beliau berkata Malaysia adalah pintu masuk bagi Turki ke Asia, Timur jauh dan India sementara Turki boleh membantu untuk menjadikan Malaysia lebih menyerlah di benua Afrika.

Isu-isu lain yang dibincangkan termasuk peranan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menangani dan pembaharuan bagi memastikan ia tidak berada di bawah monopoli mana-mana negara dan memastikan ia bersifat inklusif untuk melibatkan penyertaan ummah yang lebih luas serta menjadikan Perjanjian Perdagangan Bebas yang ditandatangani antara Malaysia dan Turki pada 2014 lebih menyerlah.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Turki meningkat sebanyak 38.9 peratus pada 2017 kepada USD2.8 bilion daripada USD2 billon pada 2016. Eksport meningkat sebanyak 42.2 peratus kepada USD2.4 bilion pada 2017 berbanding USD1.7 bilion pada 2016. Pada masa yang sama, import meningkat sebanyak 24.1 peratus kepada USD0.36 bilion berbanding USD0.3 bilion pada 2016.

Tahun lepas, eksport utama Malaysia ke Turki ialah minyak sawit dan produk berasaskan sawit; produk logam; tekstil, pakaian dan kasut; bahan kimia, dan produk kimia; serta produk elektrikal dan elektronik.

Import utama dari Turki ialah tekstil, pakaian dan kasut; jentera, peralatan dan alat ganti; bahan kimia dan produk kimia; produk petroleum; serta buah-buahan dan produk pertanian lain.

- Bernama

Lihat Komen
ADS