Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UK sedia bantu Malaysia dapatkan semula aset di luar negara

United Kingdom (UK) telah menyatakan kesediaannya untuk membantu Malaysia mendapatkan semula asetnya, kata Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell.

Treadell, yang menemui Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Tun Daim Zainuddin hari ini, berkata UK akan membantu kerajaan Malaysia membina semula kewangannya.

“Jika ada wang ditemui dalam proses yang sewajarnya dan ia milik Malaysia, UK akan membantu proses penghantaran semulanya, tetapi terdapat proses dan undang-undang yang perlu dipatuhi," katanya ketika ditemui di luar Menara Ilham, Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai topik yang dibincangkan dengan Daim, katanya ia merupakan perbincangan yang luas termasuk bagaimana UK dapat membantu dengan agenda pembaharuan kerajaan baharu.

Dalam perkembangan lain, Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) yang diterajui oleh Datuk K.C. Vohrah berkata jawatankuasa itu hampir selesai mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang berkaitan dan akan menulis laporan tidak lama lagi.

Menyatakan akan terdapat dua lagi mesyuarat selepas Hari Raya, beliau menegaskan jawatankuasa itu akan menumpukan kepada pembersihan pelbagai institusi kerajaan, terutamanya Jabatan Peguam Negara, Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Polis Diraja Malaysia.

"Perlu perubahan. Kami menerima banyak input dan kami sedang menelitinya, dan bagaimana maklum balas itu dapat disesuaikan dengan pembaharuan yang diperlukan,” kata Vohrah.

Turut hadir pada mesyuarat itu adalah empat anggota IRC yang lain, Pesuruhjaya Suhakam Datuk Mah Weng Kwai, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji, Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) Datuk Ambiga Sreenevasan dan pensyarah undang-undang di Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS