Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya akan lapor SPRM jika ada anggota BERSATU guna nama parti urus bazar Ramadan'
Diterbitkan:  Jun 14, 2018 12:56 AM
Dikemaskini: 5:49 PM

Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata dia tidak akan teragak-agak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mendapati terdapat penyelewengan berlaku pada partinya itu.

Beliau berkata demikian susulan penyebaran tangkap layar sepucuk surat yang mempunyai logo Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang disertakan dengan nama serta jawatan Pemuda BERSATU Wilayah Persekutuan.

Surat yang tular di media sosial itu dipercayai berhubung urusan tapak bazar Ramadan tahun ini.

"Saya tidak akan membiarkan penggunaan nama mana-mana parti bagi mendapatkan favour (habuan) daripada kerajaan.

"Jika surat ini sahih dan kerana ia (melibatkan) parti politik, habuan itu diperoleh secara tidak sah.

"Saya sendiri akan melaporkan kes ini kepada SPRM dan berharap sesiapa yang terlibat akan melakukan tindakan sama.

"Tidak gentar untuk membina semula Malaysia baru walaupun mereka ahli parti saya," katanya kepada Malaysiakini lewat malam tadi.

Sementara itu, melalui kenyataan media awal hari ini, Syed Saddiq menjelaskan bahawa pihaknya telah menghubungi peniaga dan pihak lain yang terlibat bagi mendapatkan penjelasan serta bukti berhubung dakwaan berkenaan.

Anggota parlimen Muar itu turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubunginya.

"Berada dalam kerajaan, bukan bermakna saya mengiakan semua salah laku yang berada didepan mata saya," katanya.

Lihat Komen
ADS