Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq: Saya sendiri lapor SPRM jika surat itu asli
Diterbitkan:  Jun 14, 2018 9:14 AM
Dikemaskini: 1:17 AM

Ketua Pemuda BERSATU Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau tidak akan teragak-agak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika terdapat mana-mana anggotanya mempergunakan nama parti untuk mendapatkan sesuatu.

Beliau membuat penegasan itu selepas tular sepucuk surat berkaitan rundingan penganjuran pasar Ramadan dikatakan antara Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) dan seorang ketua Pemuda bahagian BERSATU di ibu negara.

Surat itu, yang menggunakan logo DBKL, dikatakan memberi kelulusan kepada pemimpin akar umbi BERSATU itu menganjurkan pasar Ramadan di Kuala Lumpur.

Ketika dihubungi, Syed Saddiq berkata beliau memandang berat perkara itu dan berjanji menyiasat sama ada benar nama parti digunakan untuk kepentingan peribadi.

“Jika surat ini betul dan jika kerana politik parti, perkara itu diperoleh secara tidak sah, saya sendiri akan lapor kes ini kepada SPRM dan saya harap pihak yang terlibat akan ambil tindakan sama,” katanya kepada Malaysiakini.

Anggota parlimen Muar itu juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dakwaan itu berhubung dengannya.

Sementara itu, Ketua BERSATU Wilayah Persekutuan Muhammad Suhaimi Yahya berkata tindakan disiplin akan dikenakan segera jika terdapat anggotanya menyalahgunakan nama parti.

Perbuatan ini bukan dari parti BERSATU. Ia bersifat individu tetapi mungkin menggunakan nama BERSATU, jika benar, perbuatan ini adalah menyalahi perlembagaan parti.

“Jika benar individu ini menyalahgunakan nama parti tindakan disiplin dan tegas akan diambil serta-merta,” katanya

Lihat Komen
ADS