Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shahidan nafi kena strok
Diterbitkan:  Jun 14, 2018 11:19 AM
Dikemaskini: 3:20 AM

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan beliau diserang strok atau angin ahmar sebagaimana laporan beberapa portal petang semalam.

Sebaliknya Shahidan berkata, dirinya hanya mengalami penyakit gangguan saraf pada bahagian kaki yang dijangka sembuh dalam tempoh terdekat.

“Keadaan saya makin baik malah masih boleh ke masjid. Sekarang saya masih menggunakan kerusi roda kerana kaki masih belum kuat dan memerlukan rawatan fisioterapi serta mengurut,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia Online.

Beliau juga dilaporkan berkata, dirinya masih lagi aktif menghadiri pelbagai aktiviti parti setiap hari di negeri ini.

“Sebaik-baiknya sebelum membuat kenyatan mengenai keadaan saya boleh bertanya sendiri kepada saya, isteri atau ahli keluarga terdekat,” katanya.

Portal berbahasa Inggeris The Star, semalam memetik Setiauasaha Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai berkata Shahidan diserang angin ahmar sejak beberapa hari lalu.

Shahidan adalah menteri besar Perlis dari tahun 1995 hingga 2008 dan kemudian dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri, jawatan yang dipegangnya sehingga pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Beliau pada Mei lalu mencetuskan kontroversi apabila sembilan ADUN Perlis yang bersekutu dengannya memulaukan majlis mengangkat sumpah jawatan menteri besar oleh Datuk Seri Azlan Man.

Isu ini menyaksikan perselisihan antara beliau dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Adalah dipercayai secara meluas bahawa Shahidan mahu abangnya, Datuk Ismail Kassim menjadi mentri besar.

Beliau juga memfailkan saman yang mencabar pelantikan Azman.

Lihat Komen
ADS