Ulasan Malaysiakini

Zahid Hamidi ada kelebihan

Johan Iskandar  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ULASAN l Ada pihak sengaja ingin melaga-lagakan pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan tokoh veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah, sempena pemilihan pada 30 Jun ini. Setakat ini hanya Zahid yang mendaftar untuk bertanding jawatan presiden

Walaupun Zahid lebih layak kerana tugas yang dijalankan sebagai naib presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden, dan sekarang memikul tanggungjawab sebagai pemangku presiden parti, namun ada pihak yang beriya-iya benar menolak Tengku Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li ke depan untuk bertanding.

Dalam dua keadaan ini, Zahid dihadapkan dengan situasi yang cukup getir.

Pertama, apabila Ku Li menubuhkan Parti Semangat 46 pada 1988 selepas tewas kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada pemilihan 1987, dan 30 tahun kemudian tercabar sekali lagi apabila Barisan Nasional yang diterajui Umno tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Apabila dilihat dari sudut politik, Zahid ada pada kedua-dua zaman, manakala Ku Li meninggalkan parti yang ingin dijahanamkannya pada 1988, dan hanya memasuki semula Umno selepas Semangat 46 dibubarkan pada 1996.

Menyanggah presiden parti

Oleh itu, di mana asas yang mengatakan bahawa Ku Li dapat menyelamatkan Umno, sedangkan beliau sering tidak hadir ke Parlimen dan Perhimpunan Agung Umno. Malah baru-baru menyatakan beliau sudah tua dan tidak larat ke sana ke sini terutama turun ke bahagian dan negeri.

Adakah Ku Li berjuang untuk kepopularan peribadi atau untuk mempopularkan parti di mata rakyat Melayu Malaysia?

Secara bandingannya, Zahid tidak pernah meninggalkan parti, dan yang penting, tidak pernah menyanggah presiden parti dalam apa keadaan sekalipun. Kesetiaannya terhadap parti dan institusi kepresidenan parti tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa, termasuk Dr Mahathir sekalipun yang dua kali keluar-masuk dan keluar semula parti.

Oleh di mana letaknya kebijaksanaan dalam hal memilih Presiden Umno yang baru? Dari segi akal dan logiknya, Zahid mempunyai banyak kelebihan daripada Ku Li.

Biarpun Ku Li pernah berkorban dengan menjual tanahnya berharga RM1 bagi Umno membina PWTC, ia tidak menggambarkan kesetiaan tetapi lebih kepada 'personal glamour'.

Di antara Zahid dan Ku Li, personaliti mereka jauh berbeza. Jika Zahid mudah dirapati oleh semua pihak, termasuk pembangkang (sebelum HARAPAN menang PRU14), Ku Li pula hanya bertemu orang tertentu dan mengikut protokol 'dirajanya'.

Kedua-duanya disenangi dan mempunyai jumlah pengikut yang ramai. Begitupun, Zahid lebih menyerlah dari segi perwatakannya yang kuat bertolak-ansur, termasuk dengan pemimpin HARAPAN sendiri manakala Ku Li memiliki ego yang tinggi.

Ini terbukti apabila Zahid bertemu Dr Mahathir pada pagi sebelum beliau bertolak mengerjakan umrah pada 7 Jun lalu. Ku Li pula menempelak pendekatan yang diambil oleh Zahid itu sebagai 'merangkak mengadap Dr Mahathir'.

Membincangkan kepentingan Melayu

Walhal, perjumpaan itu adalah pertemuan 'ayah dengan anak' yang lebih bersifat sesama bangsa dan sesama agama, tanpa prejudis serta maksud tersirat. Apatah lagi dalam bulan yang mulia di mana Islam menggalakkan umatnya bermaaf-maafan sesama mereka. Malah mereka dilaporkan membincangkan kepentingan Melayu.

Ini memaparkan dengan 'musuh' sekalipun, Zahid sanggup duduk semeja demi mencari titik noktah persamaan. Demi kepentingan semua pihak, apatah lagi pertemuannya dengan Dr Mahathir adalah pengerat kepada visi politik Melayu masa depan.

Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir yang masih kuat jiwa Melayunya dikatakan sebak menahan perasaan mengenangkan nasib yang menimpa orang Melayu.

Ku Li tidak sukakan pertemuan itu, dan mendabik dada kononnya beliau tidak akan sekali-kali berjabat tangan dengan seteru politiknya, sehingga mengeluarkan kenyataan bahawa Dr Mahathir masih seorang diktator dan 'hanya bajunya yang bertukar'.

Oleh itu, di mana kewarasan perwakilan Umno sempena pemilihan ini? Jika Ku Li membuat keputusan untuk bertanding, tidakkah beliau sedar bahawa Umno akan rugi tanpa Zahid?

Zahid memang dilahirkan untuk Umno, membimbing parti ini. Dalam keadaan rumit sekarang, tidak patutnya Ku Li mengambil kesempatan, sedangkan khidmat beliau lebih diperlukan sebagai penasihat parti. Ini seperti dicadangkan oleh sesetengah pihak agar Umno menubuhkan Majlis Penasihat Umno yang dianggotai oleh tokoh parti itu termasuk bekas presiden dan bekas timbalan presiden.

Memang Umno memerlukan kedua-duanya - Zahid dan Ku Li. Tanpa salah seorang, dikhuatiri berlaku kepincangan dalam proses memperkukuhkan semula parti. Harus ada gandingan yang lama dan yang baru.


JOHAN ISKANDAR adalah penganalisis politik tempatan yang mengikut perkembangan politik Malaysia sejak 1970an.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.