Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kedegilan menteri beri implikasi kepada pasaran modal’
Diterbitkan:  Jun 14, 2018 2:49 PM
Dikemaskini: 6:51 AM

Kedegilan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai hutang negara yang didakwa mencapai RM1 trilion memberi implikasi ke atas keyakinan pelabur, pasaran modal, kewangan dan laba serta masyarakat pedagang, kata Umno.

Dalam satu kenyataan hari ini, unit komunikasi strategik Umno berkata pendirian Lim yang masih berdegil mengenai perkara itu amat merugikan negara.

“Kenyataan menteri kewangan berkenaan hutang kerajaan dinilaikan sebagai RM1 trilion adalah amat mengelirukan dan memberikan implikasi ke atas keyakinan pelabur, pasaran modal, kewangan dan laba dan masyarakat pedagang.

“Ini ditafsirkan pada jumlah pasaran modal dan trend menurun Bursa Malaysia dewasa ini,” kata kenyataan itu.

Ia juga berkata, firma penarafan antarabangsa Moody’s mengeluarkan kenyataan bahawa kedudukan hutang Malaysia kekal pada 50.8 peratus daripada KDNK.

Perangkaan itu, menurut Umno, adalah konsisten dengan kedudukan kewangan dan hutang negara dan kemampu-bayaran balik sebagaimana pra-PRU14.

“Lim Guan Eng masih berdegil mengenai nilai hutang ini dan memberi tumpuan kepada hal lain daripada berkenaan KDNK, pengkukuhan ekonomi dan kedudukan kewangan dan pengembangan ekonomi itu amat merugikan negara.,” katanya.

Semalam, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menuduh kerajaan Pakatan Harapan mengelirukan orang ramai mengenai nisbah hutang berbanding KDNK dengan memetik laporan terbaru Moody Investor Service yang menyatakan nisbah hutang kekal 50.8 peratus, berbanding 80.3 peratus seperti yang didakwa.

Lim sebaliknya membidas Najib, yang juga adalah bekas menteri kewangan, dengan menasihatkannya agar tidak "bersembunyi di sebalik definisi hutang" bagi menutup keadaan sebenar ekonomi negara.

Menteri itu menegaskan bahawa angka RM1 trilion adalah dari gabungan jumlah hutang dan liabiliti.

Lihat Komen
ADS