Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hanya Anwar mampu satukan Melayu - Jamal
Diterbitkan:  Jun 14, 2018 4:34 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menjelaskan alasannya menamakan Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon terbaik untuk memimpin Umno berikutan kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14.

Ahli politik yang melarikan diri daripada buruan polis sejak bulan lalu, berkata Anwar adalah satu-satunya pemimpin yang mampu menyatu-padukan semula kaum Melayu.

"Ketika ini Umno memerlukan sokongan daripada seluruh akar umbi dan dari situlah, saya melihat penyatupaduan orang Melayu ini hanya mampu dilakukan oleh Anwar," katanya dalam satu kiriman video yang dihantar seorang ahlinya menerusi aplikasi WhatsApp.

Walau bagaimanapun, Jamal berkata, cadangan itu adalah pandangan dan pendapat peribadi beliau semata-mata dan tiada kena-mengena dengan individu lain atau parti Umno itu.

"Kalau ia mampu membawa kebaikan, apa salahnya kita fikir dan renungkanlah untuk masa depan negara kita yang tercinta ini," katanya.

Pemimpin Gerakan Baju Merah itu juga menyatakan bahawa Anwar pernah menjadi timbalan presiden Umno sebelum pemecatannya pada tahun 1998.

Dalam klip video Rabu lalu, Jamal mencadangkan agar Anwar memimpin Umno dengan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai sebagai orang nombor dua parti itu.

Zahid kini menjalankan tugas-tugas presiden Umno susulan peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak.

Pada 25 Mei lalu, Jamal dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa dimasukkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri dan kehilangannya dikatakan disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira jam 5.30 petang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini mengesahkan waran tangkap terhadap Jamal telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang, 1 Jun lalu.

Waran itu dikeluarkan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS