Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Skandal 1MDB: Dr M tolak tawaran Jho Low minta kekebalan
Diterbitkan:  Jun 15, 2018 2:14 PM
Dikemaskini: 6:41 AM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menolak tawaran ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low untuk mendapatkan kekebalan daripada dikenakan pertuduhan undang-undang mengenai skandal 1MDB.

Tawaran itu dikatakan sebagai pertukaran bagi Low yang kini sedang diburu oleh pihak berkuasa pelbagai negara untuk menggugurkan tuntutannya terhadap aset-aset dipercayai berkaitan 1MDB bernilai lebih satu bilion dolar.

Menurut Wall Street Journal, permintaan itu disampaikan kepada Mahathir melalui perantara. Walau bagaimanapun, laporan itu tidak menyebut bila tawaran tersebut dibuat.

Tidak jelas jika permintaan ini dibuat ketika Low dilaporkan telah bertemu dengan Dr Mahathir sewaktu beliau baru mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri bulan lalu.

Individu berkait Najib dan keluarga

Low dipercayai menjadi individu utama berhubung skandal global 1MDB yang bernilai berbilion dolar dan berkait rapat dengan Datuk Seri Najib Razak yang mengasaskan syarikat pelaburan negara tersebut dan keluarga bekas perdana menteri itu.

Low dan Najib menjadi tumpuan penyiasatan dana dan beberapa anak syarikatnya oleh pihak berkuasa Malaysia, Singapura, Switzerland dan Amerika.

Low dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk hadir sesi soal-siasat, sementara Singapura telah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya pada 2016.

Usaha untuk membawa Jho Low pulang ke negara setakat ini tidak membuahkan hasil, dengan Mahathir mengatakan kerajaan baru tidak dapat membawa pulang Low kerana Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan negara tempat Low berada sekarang.

Bagaimanapun, perdana menteri tidak menamakan negara berkenaan.

Wall Street Journal memetik orang-orang yang mempunyai pengetahuan mengenai keberadaan Low menyatakan ahli perniagaan itu bersembunyi di China, antara tanah besar, Macau dan Hong Kong.

Peguam Low tidak memberi maklum balas terhadap permintaan Wall Street Journal untuk mendapatkan ulasan.

Dilaporkan Low telah membuat beberapa percubaan lain untuk menghubungi pihak berkuasa Malaysia bagi membantu siasatan.

Dalam satu kes, beliau mengarahkan peguamnya untuk menghubungi SPRM.

Di lain pihak, peguamnya pula dikatakan telah memulakan perbincangan dengan pihak berkuasa untuk bertemu dengan Jho Low di Dubai, namun pengerusi jawatankuasa siasatan 1MDB, Tan Sri Abu Talib Othman berkata tidak mengetahui apa-apa berhubung dakwaan rancangan itu.

Lihat Komen
ADS