Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Azmin: 1 Syawal yang lebih bermakna
Diterbitkan:  Jun 15, 2018 3:35 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata tarikh satu Syawal, hari raya pertama Aidil Fitri kali ini lebih bermakna dari sebelumnya.

Bagi beliau, Malaysia baru yang dilahirkan daripada hasrat rakyat pada 9 Mei bukan sahaja menghasilkan suasana yang lebih harmoni tetapi menyaksikan masyarakat berbilang kaum memperkuat perpaduan mereka dengan menolak sentimen perkauman dan keagamaan.

"Alhamdulillah, 1 Syawal yang disambut dan diraikan kali ini juga dilihat lebih bermakna.

"Malaysia yang dicintai kini menuju fasa pemulihan selepas lebih 60 tahun ditadbir oleh pemerintahan terdahulu," kata beliau dalam perutusan hari raya.

" Sebagai individu bertanggungjawab mengemudi hal ehwal ekonomi negara, saya insaf untuk memastikan rakyat terus terbela," katanya.

Jana peluang pekerjaan

Azmin berjanji pelbagai usaha termasuk mewujudkan suasana mesra pelabur, menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan pelaburan asing akan dilakukan tanpa mengesampingkan prinsip ketelusan dan tanggungjawab.

Walau bagaimanapun, usaha sedemikian tidak dapat dicapai tanpa konsep keadilan sosial, katanya.

Ia perlu mengikuti jejak kepercayaan, kebenaran, advokasi dan kebijaksanaan, maklum Azmin.

"Saya yakin, hanya sifat-sifat terpuji dan jiwa yang merdeka mampu mengangkat semula martabat sesebuah negara," katanya.

Selangor sentiasa di sanubari hati

Beliau turut memetik pepatah Inggeris “Every man is the architect of his own fortune” (tiap orang mereka-bentuk nasibnya sendiri), berkata ia membuktikan masa depan ditentukan dengan bekerja keras.

"Maka, tiada lagi alasan untuk kita berpeluk tubuh mengharapkan sebuah kejayaan tanpa perlu bekerja keras," jelasnya.

Azmin tidak lupa amanah tugas yang digalasnya selama tiga tahun sebagai menteri besar Selangor dan menyentuh warga negeri itu dalam perutusannya.

"Keterujaan saya menjalankan tanggungjawab di peringkat Persekutuan tidak melunturkan ingatan ini kepada negeri Selangor yang dikasihi.

"Saya mendoakan Selangor terus cemerlang, harmoni dan berdaya maju dengan terus memperkasakan prinsip peduli rakyat.

"Justeru, percayalah, Selangor senantiasa di hati dan sanubari saya," katanya.

Azmin berkata beliau, isterinya dan anak-anaknya mengucapkan Salam Eidul Fitri kepada semua umat Islam dan mereka berharap Syawal ini akan membawa rakyat lebih dekat dengan semangat perpaduan dan keyakinan.

"Moga ukhwah yang terbentuk terus tersimpul rapi atas jalinan persaudaraan sesama insan," katanya.

Lihat Komen
ADS