Pemuda Umno Kedah memohon anggota parti itu membuat pertimbangan dan justifikasi rasional dalam memilih kepimpinan Umno pada pemilihan parti, 30 Jun ini.

Ketua Pemudanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata pemimpin yang wajar dipilih adalah mereka yang benar-benar berupaya memahami dan bertindak berani berdasarkan perubahan iklim politik semasa.

"Pemuda Umno Kedah tidak kisah siapa pun yang bakal dipilih asalkan pemimpin tersebut berupaya memulihkan parti, menyatukan-padukan kembali jentera di peringkat bawahan dan pada masa yang sama mampu mencerminkan transformasi politik sebenar untuk tatapan rakyat," katanya dalam kenyataan mlm tadi.

Beliau berkata keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas memberikan isyarat jelas bahawa Barisan Nasional (BN) dan Umno tidak mampu berjaya dengan hanya menaikkan semangat anggota sendiri.

Menurutnya, kriteria pemilihan kepimpinan Umno harus bertepatan dan bukannya berlandaskan umur mahupun nostalgia semata-mata kerana parti itu kini memerlukan proses pemulihan segera dan menyeluruh.

- Bernama