Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini menyeru orang ramai untuk melibatkan diri dengan penanaman organik dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran pengguna tentang kebaikan tanaman organik.

Pegawai Pendidikan CAP N.V. Subbarow berkata CAP sedar bahawa isu penghasilan makanan palsu menyebabkan ramai pengguna ragu-ragu terhadap makanan tersebut.

Menurutnya, CAP telah mula memberi perhatian terhadap tanaman organik dan mengambil beberapa langkah untuk memastikan pengguna boleh mendapatkan atau menyediakan tanaman herba organik dengan cara mudah.

"Antara inisiatif yang diambil CAP ialah mengusahakan Taman Organik yang bebas daripada sebarang kandungan bahan kimia seperti misai kucing, daun pudina, daun selasih, daun kari, labu, petola, lidah buaya, pokok betik, pokok rambutan, pokok mambu, jagung, bendi dan serai," katanya kepada Bernama di George Town, Pulau Pinang.

Subbarow berkata keluasan taman organik itu adalah lebih kurang 0.2 hektar dan menggunakan beberapa solusi tambahan seperti ‘panchakavya’, asid amino ikan dan ‘farmers EM’ untuk memastikan kesuburan dan meningkatkan kadar pertumbuhan tanaman secara semula jadi.

Taman Organik CAP

Tambahnya, beberapa tanaman di Taman Organik CAP kelihatan amat berbeza dari segi saiz, warna, rasa dan tekstur berbanding tanaman yang dijual dalam pasaran.

"Contohnya, jagung dari Taman Organik mempunyai gabungan dua jenis warna iaitu kuning dan warna merah tua serta memiliki rasa yang sangat manis manakala bendi yang dihasilkan juga mempunyai saiz berbeza daripada bendi yang dijual di pasaran," katanya.

Pegawai Pendidikan CAP O. Saraswathi berkata CAP turut menerbitkan sebuah majalah berjudul ‘Dari Kebun ke Pinggan’ yang mengandungi maklumat penting mengenai cara memasak 10 jenis tanaman herba yang sihat.

Jelasnya, majalah ini amat berguna kepada golongan suri rumah tangga kerana terdapat banyak kebaikan daripada tanaman herba tersebut seperti menyembuhkan penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, batu karang serta meningkatkan keberfungsian organ-organ dalaman seperti jantung dan rahim.

"Majalah ini juga dapat membantu segelintir pengguna yang masih tidak tahu mengenai cara penggunaan dan kebaikan tanaman herba yang terdapat di sekeliling mereka," katanya.

Tambahnya, majalah yang diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Tamil dan Inggeris itu boleh didapati di kedai-kedai buku yang terpilih serta di pejabat CAP dengan harga RM4 sahaja.

- Bernama

Lihat Komen
ADS