Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak akan menarik diri daripada bertanding jawatan presiden pada pemilihan Umno hujung bulan ini.

Ia di sebalik gesaan beberapa pihak agar beliau memberi laluan kepada Tengku Razaleigh serta seruan pembaharuan parti, di mana bekas timbalan perdana menteri itu dilihat sebahagian daripada kepimpinan lama yang kalah pada PRU lalu.

"Tidak ada sebab untuk saya tarik diri," katanya ringkas menerusi Whatsapp kepada Malaysiakini.

Selain Zahid dan Ku Li, turut bertanding merebut jawatan tertinggi itu adalah ahli perniagaan dan penulis blog, Rahmat Azim Abdul Aziz.

Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin juga dilaporkan akan menghantar borang pencalonan untuk jawatan itu sebelum lima petang ini.

Zahid yang dilantik menjadi pemangku presiden selepas pengunduran Datuk Seri Najib Razak dilihat bakal berdepan cabaran besar dalam perebutan jawatan itu susulan kekalahan Umno dan BN pada PRU ke-14.

Setakat ini, antara pemimpin parti yang menyuarakan sokongan kepada Ku Li adalah bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin. Kedua-duanya akan bertanding untuk jawatan naib presiden.

Sumber daripada kem Ku Li berkata pihaknya yakin lebih daripada 191 bahagian Umno akan menyokong tokoh veteran itu.

Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini semalam, Zahid menegaskan kepentingan agar Umno terus bergerak sebagai sebuah pasukan susulan kekalahan dalam pilihan raya.

“Kita hendaklah menjadikan pertandingan ini dengan niat untuk menghadapi seteru politik di luar sana dan bukan mencipta permusuhan sesama sendiri.

“Jangan jadikan 'menang jadi arang dan kalah menjadi abu' sebagai tunjang pertandingan ini,” katanya lagi.
 

Lihat Komen
ADS