Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz: Jika salah, kerajaan HARAPAN terima teguran
Diterbitkan:  Jun 17, 2018 3:16 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Kerajaan negeri Kedah bersedia dan terbuka untuk menerima segala teguran daripada rakyat sekiranya terdapat kesalahan dalam pemerintahan Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri ini demi kebaikan semua pihak.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kerajaan negeri berharap rakyat dapat terus memberi sokongan dan dukungan padu kepada kepimpinannya di negeri ini dalam usaha memastikan semua dasar kerajaan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

"Sokongan rakyat sangat penting sama ada untuk kerajaan pusat mahupun negeri dan ia dapat dilihat apabila semua pihak termasuk individu dan badan bukan kerajaan (NGO) sanggup menyumbang dana kepada Tabung Harapan yang sehingga kini sudah mencecah RM75 juta.

"Ini menunjukkan setiap lapisan (masyarakat) sanggup berkorban demi melihat masa hadapan negara yang lebih cerah. Di peringkat Kedah, bukan sumbangan wang yang kami harapkan sebaliknya sokongan, dukungan dan teguran demi kebaikan semua," katanya ketika berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah bersama rakyat di Dewan Seri Mentaloon di Alor Setar hari ini.

Turut hadir memeriahkan majlis rumah terbuka itu termasuk Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Tunai janji 100 hari

Dalam pada itu, Mukhriz berkata kerajaan negeri memberi jaminan kepada rakyat bahawa segala janji yang tersenarai dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 HARAPAN negeri ini untuk diselesaikan dalam tempoh 100 hari akan ditunaikan.

"Kami janji akan tunaikannya satu persatu dan satu daripadanya adalah untuk menyelesaikan masalah bekalan air iaitu tindakan tertentu telah diambil dan laporan juga telah diterima dan kawasan yang bermasalah sebelum ini telah menerima bekalan air yang cukup.

"Ada juga kawasan lain yang masih mengalami masalah air tetapi kami janji akan usahakan ia dalam masa dan kadar terdekat bagi memastikan bekalan air di negeri ini sempurna," katanya.

Lebih 20,000 rakyat pelbagai kaum mengunjungi majlis rumah terbuka itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS