Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Sekolah tanpa elektrik di S'wak akan dibekal diesel
Diterbitkan:  Jun 17, 2018 3:27 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata beliau telah mengarahkan agar sekolah yang tiada kemudahan elektrik di Sarawak dibekalkan dengan diesel secepat mungkin.

"Sekolah-sekolah ini sepatutnya mendapat bekalan diesel daripada syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd, tetapi syarikat itu gagal menyediakan bekalan sewajarnya.

"Saya akan pastikan bekalan diesel dapat disampaikan kepada sekolah-sekolah ini secepat mungkin, sebelum pelajar kembali ke sekolah selepas cuti. Saya telah membenarkan kementerian saya membuat pembelian diesel baru sebagai langkah segera," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Maszlee berkata Kementerian Kewangan telah menimbangkan perkara itu dan peruntukan akan diberi kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak untuk membuat pembelian diesel.

Sebelum ini, Jepak Holdings dilaporkan mendapat kontrak secara rundingan terus bernilai lebih RM1 bilion untuk melaksanakan projek solar hibrid di sekolah di Sarawak pada Januari 2017.

Ia didakwa diberikan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tanpa melalui prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Pendidikan.

Jepak Holdings telah menafikan nilai projek itu melebihi RM1 bilion namun mengakui menerimanya secara runding terus daripada kerajaan BN.

Projek itu melibatkan pemasangan sistem solar hibrid, penyelenggaraan generator dan pembekalan diesel kepada 369 sekolah di pedalaman negeri itu.

Syarikat itu bagaimanapun didakwa gagal memenuhi jadual siap 51 peratus pada 15 Mei lalu walaupun sudah menerima bayaran.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata telah memulakan siasatan awal perkara itu pada April lalu.
 

Lihat Komen
ADS