Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy sahkan tanding presiden Umno
Diterbitkan:  Jun 17, 2018 3:41 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

Selepas pelbagai spekulasi, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin akhirnya mengesahkan beliau akan bertanding untuk jawatan presiden pada pemilihan hujung bulan ini.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu memuat naik borang pencalonannya di Instagram sebentar tadi.

"Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan," katanya mengiringi gambar itu.

Pengesahan ini menjadikan pemilihan kali ini bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Khairy, pemangku Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tokoh veteran Tengku Razaleigh Hamzah dan penulis blog, Rahmat Azim Abdul Aziz.


Langkah ini boleh dianggap mengejutkan memandangkan beliau sebelum ini mensasarkan kerusi naib presiden dan dilaporkan berkata tidak akan bertanding bagi dua jawatan tertinggi parti itu - presiden dan timbalan.

Beliau juga ditampilkan dalam poster yang disebarkan pihak daripada kem Ku Li selepas pengumuman pencalonannya - memaparkan "pasukan pembaharuan Umno" bersama-sama Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai calon timbalan presiden serta Khairy, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai calon naib presiden.

Namun tidak jelas sama ada beliau tahu tentang poster "pasukan pembaharuan Umno" itu.

Berikutan tumbangnya Umno dan BN pada PRU ke-14, parti itu mengenepikan kelaziman sebelum ini dengan mengumumkan jawatan presiden dan timbalan presiden akan dipertandingkan pada pemilihan kali ini.

Lihat Komen
ADS