Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar: Saya serah Dr M tentukan masa sesuai
Diterbitkan:  Jun 18, 2018 9:15 AM
Dikemaskini: 8:54 AM

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau tidak berhasrat bertanding semula (parlimen) sekarang, sebaliknya akan menghadiri program-program penerangan mengenai rancangan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) membina semula negara.

Anwar berkata beliau akan bertolak ke Turki hari ini untuk menghadiri program bersama Presiden Recep Tayyip Erdogan.

"Saya baru balik dari London sehari sebelum Raya dan semua orang nak tahu semangat perpaduan Malaysia yang berbilang kaum sehingga mampu menjatuhkan kerajaan lama dan membina kerajaan baharu.

"Mereka kagum dengan Malaysia dan rakyatnya dan mahu mengetahui bagaimana kita melakukannya.

"Saya akan pergi ke Turki esok untuk bertemu dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan, yang juga rakan saya dan kemudian akan memenuhi undangan beberapa negara Asia serta Arab," katanya.

Anwar dipetik Bernama sebagai berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar di Pulau Pinang, malam semalam.

Beliau berkata mempunyai komitmen untuk berkongsi pengalaman politiknya di Malaysia dengan negara luar.

"Saya tidak fikir lagi untuk bertanding semula dan menyerah kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentukan masa yang sesuai," katanya.

'Dibelasah kiri dan kanan'

Bagaimanapun, pada 5 Jun lalu, bekas ketua pembangkang itu dilaporkan berkata akan mempercepatkan proses kemasukannya semula ke parlimen.

“Saya duduk di penjara 10 tahun. Saya dibelasah kiri dan kanan. Kemudian mereka kata saya tidak patut jadi ahli parlimen.

"Saya rasa pandangan itu melampau daripada sesetengah orang, kononnya kerana mereka takut saya akan ganggu (pentadbiran sekarang).

"Takkan saya tak boleh jadi ahli Parlimen biasa," katanya.

Pada majlis yang sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan terima kasih kepada penduduk Permatang Pauh yang turut membantu melakarkan sejarah baharu Malaysia dengan menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Selepas sekian lama meninggalkan Permatang Pauh, saya teruja dengan sokongan yang masih diberikan oleh penduduk di sini," katanya.

Lebih 2,000 pengunjung menghadiri majlis itu Dataran Rakyat Guar Perahu dekat Penanti di sini dan antaranya Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta beberapa pemimpin kerajaan negeri.

Lihat Komen
ADS