Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘HARAPAN terus berkuasa jika kehidupan rakyat tambah baik’
Diterbitkan:  Jun 18, 2018 1:02 PM
Dikemaskini: 5:57 AM

Kerajaan Pakatan Harapan mesti menangani isu ekonomi yang dihadapi oleh rakyat Malaysia - khususnya oleh orang Melayu dari golongan berpendapatan pertengahan dan rendah - jika mereka mahu terus berkuasa, kata ketua biro politik pendidikan DAP, Liew Chin Tong.

"Kita mahu menjaga kebajikan orang Melayu kelas menengah dan rendah, pastikan kehidupan mereka lebih baik.

"Jika kehidupan mereka bertambah baik dalam masa lima tahun, kita tidak akan menghadapi masalah pada pilihan raya akan datang. Inilah cabaran Pakatan Harapan.

"Dalam beberapa tahun lalu, terdapat banyak aduan mengenai ekonomi, terutamanya disebabkan oleh pelaksanaan GST yang menyebabkan kenaikan harga, penurunan nilai ringgit, serta pemotongan dalam perbelanjaan kerajaan dan subsidi, yang mengakibatkan kekurangan dana mengalir di pasaran," katanya dalam temu bual dengan Sin Chew Daily.

Liew berkata dengan andaian tidak berlaku apa-apa krisis ekonomi global yang besar, rakyat yang mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan akan membantu pertumbuhan ekonomi negara.

Untuk berbuat demikian, beliau berkata, pentadbiran HARAPAN perlu mencari cara untuk meningkatkan gaji dan mewujudkan peluang pekerjaan, memecahkan monopoli, serta menamatkan gejala korupsi dan amalan kronisme.

Sekiranya, mereka dapat memerangi rasuah secara berkesan dan mewujudkan kira-kira 20,000 pekerjaan setiap tahun, beliau berkata HARAPAN tidak akan menghadapi masalah untuk mengekalkan pentadbiran di Putrajaya pada pilihan raya akan datang.

Dalam temu bual itu, Liew juga memberi peringatan kepada HARAPAN bahawa sejak pilihan raya 9 Mei lalu, rakyat Malaysia tidak lagi takut untuk mengundi untuk perubahan jika janji-janji dan manifesto mereka tidak ditunaikan.

Lihat Komen
ADS