KM tak larang pembangkang guna dewan di Sabah
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal berkata arahan telah dikeluarkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah supaya memberi kebenaran kepada parti pembangkang yang mahu mengunakan kemudahan seperti dewan dengan syarat dikenakan bayaran sewa dewan.
"Saya sudah bagi arahan kepada (Timbalan Ketua Menteri Sabah) Datuk Jaujan Sambakong supaya membenarkan pihak pembangkang menggunakan semua dewan di negeri ini tetapi perlu membayar sewa kerana ini adalah kemudahan rakyat.
"Jangan susahkan rakyat, biar dahulu kita (parti WARISAN) dicaci dan dilarang menggunakan dewan," maklum beliau sebagaimana dipetik laporan Bernama.
Kerajaan Negeri Sabah juga membawa masuk pelaburan bernilai RM1 bilion untuk daerah Lahad Datu di Semporna sehingga ke Tawau, kata Shafie Apdal, petik laporan Bernama itu lagi.
Katanya beliau telah bertemu dengan Kumpulan Hap Seng yang mempunyai banyak pelaburan dalam pelbagai bidang.
Beri geran tanah
"Mereka telah menyatakan mahu melabur dalam sektor sedia ada termasuk kelapa sawit dan simen. Saya turut memberitahu bahawa mereka perlu ada fokus pelaburan dan kerajaan negeri sedia bagi bimbingan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri di Padang Bandaran Semporna di Semporna, Sabah hari ini.
Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata selain kawasan pantai timur Sabah, beliau mahu pelaburan di bawa ke daerah termasuk di Sipitang serta Papar.
Menurut laporan Bernama itu juga satu inisiatif akan diambil dalam tempoh terdekat berkaitan pemberian tanah kepada penduduk kampung yang memohon geran sejak lebih 50 tahun lepas.
"Saya minta, apabila diberi tanah, jangan jual tetapi bangunkan untuk anak cucu kamu," kata Shafie.
Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Semporna itu turut dihadiri anggota kabinet negeri serta kira-kira 15,000 penduduk Semporna dan daerah sekitar.

