Pemilihan Umno: Senarai akhir calon dijangka 2 hari lagi
Senarai akhir calon pemilihan Umno yang dijadual diumum hari ini ditangguh ke Rabu ini.
Ketua Setiausaha Sekretariat Pemilihan UMNO Datuk Norazuwan Aziz berkata ia berikutan proses saringan yang masih berjalan, termasuk dengan Jabatan Insolvensi bagi status muflis.
"(Proses) mengambil masa kerana melibatkan kira-kira 25,000 calon termasuk 615 calon di peringkat pusat dan 23,000 calon di 191 bahagian," katanya kepada pemberita di PWTC, hari ini.
Norazuwan berkata pihaknya berharap senarai penuh dapat dikeluarkan dalam masa dua hari lagi.
Bagaimnapun Sekretariat hari ini mengesahkan tujuh pencalonan bagi jawatan presiden.
Calon-calon itu adalah pemangku presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tokoh veteran Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin.
Empat lagi calon kurang dikenali, iaitu penulis blog Rahmat Azim Abdul Aziz, Rosile Saat (Umno Bangi), Mohamed Iqbal Maricair (Umno Bandar Tun Razak) dan Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin (Umno Iskandar Puteri).
Bagi jawatan timbalan presiden, Ketua Penerangan Tan Sri Annuar Musa dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan disertai anggota Umno Pekan Mohd Afnalizam Mohd Salim.
Sementara itu, lapan pemimpin akan merebut tiga tempat naib presiden. Bagaimanapaun Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengumumkan pencalonnya sebelum ini tiada dalam senarai itu.
Sejumlah 124 calon pula akan bertanding bagi 25 tempat dalam Majlis Tertinggi, dengan 12 daripadanya adalah penyandang.
Mereka adalah Shahidan, Datuk Seri Mustapha Mohamed, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Idris Haron, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Datuk Seri Razali Ibrahim, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datuk Mohd Puad Zarkashi, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Bung Mokhtar Radin.
Calon lain termasuk Datuk Lokman Nor Adam, Datuk Ahmad Maslan, Datuk Hamim Samuri, Datuk Ahmad Fauzi Zahari dan Tan Sri Noh Omar.
Bekas menteri besar Selangor Mohamad Khir Toyo, bekas menteri besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, menteri besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan ketua pembangkang Johor Datuk Hasni Mohammad juga antara calon bagi kerusi Majlis Tertinggi.
Sayap Umno akan mengadakan pemilihan pada 23 Jun manakala peringkat pusat pada 30 Jun.
Presiden
1. Rahmat Azim Abdul Aziz (Kota Raja)
2. Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk)
3. Rosile Saat (Bangi)
4. Tengku Razaleigh Tengku Hamzah (Gua Musang)
5. Mohd Iqbal Maricair (Bandar Tun Razak)
6. Mohd Yusuf Musa @Jamaluddin (Iskandar Puteri)
7. Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Rembau)
Timbalan Presiden
1. Mohamad Hasan (Rembau)
2. Mohd Afnalizam Mohd Salim (Pekan)
3. Annuar Musa (Ketereh)
Naib Presiden
1. Johari Abdul Ghani (Titiwangsa)
2. Mahdzir Khalid (Padang Terap)
3. Ahmad Said (Kemaman)
4. Khaled Nordin (Pasir Gudang)
5. Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak)
6. Mohd Shukri Roslan (Damansara)
7. Ismail Sabri Yaakob (Bera)
8. Sheikh Razali Sheikh Hamad (Gua Musang)
Ketua Pemuda
1. Syed Rosli Syed Harman (Pandan)
2. Jamal Md Yunos (Sungai Besar)
3. Asyraf Wajdi Dusuki (Pasir Puteh)
4. Mohd Nor Izzat Mohd Johari (Hulu Selangor)
5. Khairul Azwan Harun (Pasir Salak)
6. Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar)
7. Wan Md Hazlyn Agyl Wan Hassan (Seputeh)
8. Abdul Razak Mohd Yusof (Tanjung Malim)
9. Irwan Azhar Amin (Bangi)
Ketua Wanita
1. Azizah Mohd Dun (Beaufort)
2. Noraini Ahmad (Parit Sulong)
3. Siti Zaharah Sulaiman (Paya Besar)
Ketua Puteri
1. Zahida Zarik Khan (Pandan)
2. Nor Hazreena Mohamad Hashim (Batu)

