Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Menteri Besar Selangor yang baru, Amirudin Shari menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi menjawab persoalan tentang pelantikannya yang dikatakan tidak mendapat restu.

“Saya rasa biar pimpinan HARAPAN memberi penjelasan terutamanya daripada PKR untuk soalan tersebut dan saya serahkan kepada pimpinan tertinggi untuk membuat penjelasan,” katanya dalam sidang media pada majlis jamuan makan tengahari di Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad dalam sidang medianya hari ini mendakwa pelantikan Amirudin sebagai menteri besar Selangor yang baru tidak mendapat restu HARAPAN.

Idris sebaliknya berkata hanya beliau seorang sahaja yang mendapat persetujuan daripada semua parti HARAPAN.

Idris sebelum ini dikatakan merupakan antara yang tersenarai pendek sebagai calon untuk menjawat jawatan itu.

Kekosongan jawatan itu susulan penyandangnya sebelum ini Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diserap ke kabinet sebagai menteri hal-ehwal ekonomi.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turut mengesahkan nama Dr Idris diserahkan kepada pihak istana untuk dipertimbangkan sebagai calon menteri besar Selangor.

Teruskan prestasi cemerlang

Mengulas lanjut, Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua berkata beliau menghormati pandangan Idris dan ia bukti kerajaan Selangor terbuka dengan pelbagai pandangan dan kritikan.

“Masing-masing ada pandangan mereka sendiri, saya pasti dengan konsep pentadbiran yang akan mengambil kira pandangan semua pihak ini kita boleh maju ke depan.

“Sebab itu dalam kenyataan ini saya tegaskan sudah sampai masa untuk kita gembeleng tenaga bersama untuk majukan Selangor,” katanya.

Tambah Amirudin, di bawah pentadbiran baru sepatutnya tidak ada pihak yang cuba bermain politik.

Sebaliknya, katanya, semua pihak perlu yakin dengan kewibawaan barisan exco yang akan bersamanya bagi memajukan Selangor dan meneruskan apa yang dilakukan Mohamed Azmin sebelum ini.

“Kita ada barisan exco penuh hari ini , saya percaya kita akan kerja dengan lebih baik sebagai satu pasukan.

“Ini bukan kemenangan individu, ini adalah kemenangan HARAPAN dan selepas ini kita tidak punyai banyak  masa  untuk bermain politik, kita perlu bekerja keras untuk memastikan kita mampu laksanakan harapan daripada mandat besar  dari rakyat dalam pilihanraya lepas,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata beliau tidak akan membuat rombakan tugasan exco yang dilantik dibawah pimpinan Mohamed Azmin.

Ini kerana, katanya, masing-masing exco sudah serasi dengan tugas mereka.

“Saya perlu bincang dengan semua (exco) terlibat  baru sebulan mereka dapat tugas masing-masing tak akan nak ubah lagi, jadi mereka dah mula serasi dengan tugas masing-masing kalau ada perubahan dalam skala minimum sahaja.

“Buat masa ini saya tumpu kepada perancangan  negeri yang sedia ada, yang kita dah jalankan setengah tahun.

"Kalau saya ubah mungkin menganggu plan yang telah dilaksanakan. Cuma akan ada penambahbaikan sedikit,” katanya.

Amirudin turut mengakui berdepan tugas berat dalam mengekalkan pencapaian baik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu.

“Itu satu tanggungjawab yang saya pikul, saya yakin kita boleh lakukan dan bantu negara.

"Kalau Selangor gagal maknanya akan turut menjejaskan negara, jadi tanggungjawab kita bukan hanya di Selangor sahaja tetapi bantu Putrajaya dan Malaysia seperti dilaksana  perdana menteri,” katanya.

Lihat Komen
ADS