Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawatankuasa Pembaharuan Institusi kemuka 7 cadangan

Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) telah mengemukakan tujuh cadangan kepada Majlis Penasihat Kerajaan setakat ini.

"Kami telah kemukakan tujuh cadangan segera," kata anggota IRC Datuk Ambiga Sreenevasan kepada pemberita selepas taklimat dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Ilham Tower di Kuala Lumpur hari ini.

Cadangan itu turut dimasukkan dalam laporan ketiga IRC kepada Majlis Penasihat Kerajaan, kata Mah Weng Kwai, yang juga merupakan anggota IRC.

Laporan IRC kepada Majlis Penasihat Kerajaan hari ini merupakan yang keempat, manakala laporan akhir akan diserah pada 15 Julai, kata Mah.

"Laporan akhir merupakan laporan terperinci yang mana semua cadangan dan butiran akan dikemukakan," katanya.

Mengulas lanjut, Ambiga berkata cadangan penuh mereka akan merangkumi cadangan segera, jangka masa pendek, dan jangka masa panjang.

"Pada 15 Julai, kami akan umumkan jumlah cadangan," katanya.

Jelas Ambiga, IRC tidak menyasarkan individu tertentu tapi pembaharuan struktur institusi secara menyeluruh.

Selain tujuh cadangan segera itu, laporan IRC itu juga mengandungi perkembangan perkara yang sedang dilakukan dan pihak yang telah ditemui.

Kata Mah, setakat ini, IRC menerima ribuan cadangan daripada rakyat Malaysia.

"Tugas kami jadi lebih mudah kerana sikap positif yang kita lihat daripada semua yang tampil dan bercakap dengan kami.

"Semua orang ada idea yang baik dan mereka mahu bergerak ke depan meninggalkan situasi buruk sebelum ini," katanya.

Jawatankuasa itu ditubuhkan sehari selepas penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan, dan mereka diberikan tempoh 60 hari bagi mengemukakan cadangan pembaharuan institusi.

Jawatankuasa itu terdiri daripada Ambiga yang merupakan pengerusi Hak Asasi Manusia (Hakam), hakim bersara mahkamah rayuan Mah dan KC Vohrah, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Mohd Arshad Raji dan profesor undang-undang Universiti Malaya Shad Saleem Faruqi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS