Pengkalan Pasir: PM ingatkan jangan timbulkan sebarang masalah
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam kempen pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir 6 Disember depan, supaya tidak menimbulkan pergaduhan atau masalah lain yang berkaitan dengan keselamatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam kempen pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir 6 Disember depan, supaya tidak menimbulkan pergaduhan atau masalah lain yang berkaitan dengan keselamatan.
Menurutnya, mereka perlu bertugas dan bekerja mengikut amalan demokrasi yang sihat untuk kebaikan rakyat bagi memberi kesempatan kepada pengundi menunaikan tanggungjawab mengundi apabila tiba masanya.
"Saya tak tahu, saya tak pergi lagi tengok tetapi daripada laporan yang saya dengar tiap-tiap hari saya dengar semuanya berjalan dengan baik," katanya yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan D'Paradise Tropical Fruit Farm & Aboriginal Native Village di Alor Gajah hari ini.
Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno berkata demikian ketika ditanya mengenai senario berkempen pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir yang tarikh penamaan calon ditetapkan pada 27 November dan pengundian pada 6 Disember.
Menurut laporan Bernama, pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya dari PAS, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar akibat kanser hati pada 31 Oktober lalu.
Abdullah berkata daripada laporan yang beliau terima setakat ini, tidak ada terjadi apa-apa pergaduhan atau masalah keselamatan di kawasan DUN Pengkalan Pasir.
Ditanya sama ada beliau akan pergi ke Pengkalan Pasir untuk berkempen, Abdullah berkata: "nanti saya pergilah, tetapkan tarikh bila-bila,".

