Jenazah Dr Azahari mungkin dibawa pulang Khamis ini
Jenazah pakar bom Dr Azahari Husin mungkin dibawa pulang ke Malaysia Khamis ini jika urusan pengecaman dan dokumentasi berjalan lancar.
Jenazah pakar bom Dr Azahari Husin mungkin dibawa pulang ke Malaysia Khamis ini jika urusan pengecaman dan dokumentasi berjalan lancar.
Jurucakap keluarga Dr Azahari, Baharuddin Ismail berkata, adik orang paling dikehendaki di Asia itu, Bani Yamin Husin hanya menunggu kebenaran pihak berkuasa Indonesia untuk melihat mayat abangnya.
Baharuddin yang merupakan penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata, polis Republik Indonesia (Polri) dijangka membenarkan Bani Yamin membuat pengecaman fizikal ke atas mayat Dr Azahari dalam masa terdekat ini.
Bani Yamin tiba di Jakarta dua hari lalu untuk membuat pengecaman mayat abangnya dan membawa jenazahnya pulang ke Malaysia.
Baharuddin berkata, semua urusan membabitkan dokumentasi untuk membawa pulang jenazah Dr Azahari sudah dihantar kepada Kedutaan Malaysia di Jakarta semalam.
"Jika semua berjalan lancar, jenazah Dr Azahari dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari Khamis dan seterusnya dibawa ke Melaka untuk urusan pengebumian,"ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Urusan pengkebumian
Beliau berkata, keluarga Dr Azahari di Jasin sudah membuat persiapan untuk mengebumikan jenazahnya, termasuk menggali liang lahad.
"Jenazah Dr Azahari akan disembahyangkan di Masjid Jamek Jasin sebelum dibawa ke tanah perkuburan Batu 19, Jalan Chincin, Jasin untuk dikebumikan," katanya.
Dalam kejadian Khamis lalu. Dr Azahari dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dengan pihak berkuasa Indonesia di Malang, Jawa Timur.
Pakar bom rakyat Malaysia yang menjadi buruan sejak tiga tahun lalu itu dikata meletupkan dirinya apabila polis dan tentera Indonesia menyerbu rumah persembunyiannya. Dilaporkan dua pengikutnya turut terkorban dalam serangan tersebut.
Ketua Polis Indonesia, Jeneral Sutanto mengesahkan Dr. Azahari adalah salah seorang yang mati dalam serangan tersebut berdasarkan cop jarinya.

