Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hasrat bincang isu HSR, Batu Puteh, Johor utus surat pada PM
Diterbitkan:  Jun 20, 2018 5:39 AM
Dikemaskini: 10:30 PM

Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berharap akan dapat bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat bagi membincangkan isu projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Pulau Batu Puteh.

Menurutnya, beliau sudah mengutus surat rasmi kepada Dr Mahathir berhubung hasrat mengadakan pertemuan itu yang dijangkakan minggu depan.

“Saya akan menyatakan pendirian kerajaan negeri berhubung kedua-dua isu ini selepas saya mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri nanti.

"Kerajaan negeri juga berharap melalui pertemuan itu, kita dapat penerangan lanjut dan jelas berhubung kedua-dua isu ini daripada perdana menteri kerana ini adalah isu yang sangat rapat dengan kerajaan dan rakyat Johor. Setelah itu baru kita tentukan sama ada mahu diteruskan ataupun tidak,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan tahunan ke-20 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Negeri Johor, di Johor Bahru semalam.

Ketika taklimat kepada media mengenai hasil lawatan kerja ke Jepun, baru-baru ini, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak membatalkan projek HSR tetapi menangguhkannya berikutan kerajaan belum mampu melakukannya buat masa masa ini namun tidak menafikan terdapat keperluan untuk kereta api berkelajuan tinggi pada masa depan.

Pada 30 Mei lepas, Dr Mahathir turut menyatakan Malaysia akan menimbang semula untuk mencabar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tentang kes Pulau Batu Puteh.

ICJ pada 23 Mei 2008 memutuskan kedaulatan Pulau Batu Puteh menjadi milik Singapura setelah kedua-dua negara membawa tuntutan mereka terhadap pulau kecil itu kepadanya.

Sementara itu, Osman berkata Skim Takaful Warga Emas dan Kad Sihat Johor yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan Johor kini dalam peringkat akhir sebelum pelaksanaannya yang dijangka pada minggu depan.

Beliau berkata kedua-dua skim itu dijangka memberi manfaat kepada 200,000 pesara dan mereka yang berkelayakan di negeri ini.

“Bagi Kad Sihat Johor yang berjumlah RM500 setahun kepada setiap seorang pesara, mereka boleh gunakannya untuk mendapatkan rawatan di klinik bertauliah dan berdaftar di negeri ini. Kita (kerajaan negeri) juga akan nilai, jika kos perubatan tinggi, kita akan naikkan jumlah itu,” katanya.

Terdahulu, pada mesyuarat berkenaan, Osman mengumumkan pihaknya akan meneruskan pemberian geran kerajaan berjumlah RM100,000 kepada PPKM seperti diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Osman berkata, ia sebagai menghargai jasa dan sumbangan golongan pesara yang banyak memberikan sokongan kepada pentadbiran negeri malah jumlah geran itu juga akan ditambah sekiranya persatuan berkenaan terus bergiat aktif dalam aktiviti kebajikan.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS