Kerajaan negeri Johor dicadangkan supaya mewujudkan jawatankuasa pembangunan hal ehwal FELDA bagi membolehkan perkara mengenai kepentingan masyarakat peneroka dijaga dengan lebih baik.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai Tosrin Jarvanthi berkata oleh itu individu yang bakal dilantik menerajui jawatankuasa tersebut dicadangkan supaya bertaraf Exco.

"Jika dilaksanakan, saya rasa Johor negeri pertama yang mewujudkan jawatankuasa ini. Apabila jawatankuasa ini diberikan taraf Exco, bidang kuasa dia 'kuat', setakat jawatankuasa sahaja tiada apa," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Tosrin berkata beliau berpendapat kewujudan jawatankuasa itu amat mustahak bagi kerajaan pimpinan Pakatan Harapan dalam menjaga kepentingan FELDA seperti pembangunan ekonomi dan generasi kedua Felda demi memastikan masa depan generasi FELDA seterusnya terjamin.

Beliau berkata kemudahan dan infrastruktur di kawasan FELDA seperti balai raya, masjid, jalan raya ketika ini sudah lengkap cuma perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

"Saya juga akan mengusulkan cadangan pengwujudan jawatankuasa ini DI sidang Dewan Undangan Negeri Johor, akan datang,” katanya.

Beliau berkata terdapat kira-kira 2,000 orang masyarakat Felda yang tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai iaitu di FELDA Bukit Batu, FELDA Bukit Permai, FELDA Inas dan FELDA Taib Andak manakala beliau tidak pasti jumlah keseluruhan di negeri ini.

- Bernama