ULASAN | Bertanding untuk jawatan nombor dua parti keramat ini, tidak pernah ada dalam fikiran saya.

Namun dalam tempoh 24 bulan yang lalu, parti keramat ini kehilangan naib presiden, timbalan presiden dan terbaru presiden Umno.

Dalam waktu yang sama, Umno kehilangan kuasa pemerintahan setelah tujuh dekad di tampuk kuasa.

Tiada ujian yang lebih besar daripada apa yang sedang dialami oleh Umno sekarang.

Melihat di sekeliling saf kepimpinan parti Umno, kini rupanya saya orang paling senior dalam parti dan berada di saf paling hadapan.

Sudah 31 tahun saya menjadi Ketua Umno Bahagian, dan 28 tahun sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT).

Saya salah seorang ahli penaja Umno (Baru), membina semula Umno daripada runtuhan perebutan kuasa tahun 1987, di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Saya yang bernombor ahli seumur hidup 00000124 daripada lebih 3.5 juta ahli Umno.

Hampir 20 tahun semasa parti berkuasa, saya reda duduk di saf belakang penuh istiqamah dan kesetiaan.

Selepas 10 tahun sebagai Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Pembangunan Luar Bandar, saya setia berada di bawah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen biasa.

Malah saya berselang-seli menang dan kalah bertanding di dalam PRU.

Namun perjuangan parti tidak pernah kendur dan pantang saya berundur.

Rakan-rakan Kabinet seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Najib Razak dan saya, kini masing-masing berada di medan yang berbeza.

Saya bangga dan penuh rasa tanggung jawab, masih tegak setia kepada perjuangan parti keramat ini.

Dalam gelombang tsunami maha dahsyat PRU ke- 14 baru-baru ini, ketika undi semua calon surut atau tewas, Alhamdulillah saya bukan sahaja berjaya mempertahankan Parlimen Ketereh, tetapi menambah majoritinya hampir lima kali ganda!

Di depan duri, di belakang api

Dalam situasi sebegini, apakah saya harus lari menyelamatkan diri?

Atau cari jalan senang melepaskan beban kepimpinan ini kepada orang lain? Atau terus berteori dan menuding jari?

Jawapannya tidak sama sekali. Dalam perjuangan ini tidak mungkin saya lari atau selamatkan diri.

Saya harus menawarkan diri, biarpun di depannya  duri dan di belakangnya api.

Saya memilih untuk menjulang  bersatu, bersetia, berkhidmat.

Saya menolak berpecah, tidak setia dan tidak berkhidmat.

Justeru itu, saya menawar diri untuk membantu pucuk pimpinan dan presiden parti dalam usaha merekayasa semula Umno sebagai satu wadah perjuangan umat Islam, kaum bumiputera dan bangsa Malaysia keseluruhannya.

Tidak dapat tidak merekayasa mesti melibatkan perubahan besar.

Perubahan bukan sahaja pada individu tetapi semestinya melibatkan pada dasar, organisasi, strategi dan modus operandi parti.

Saya sanggup bekerjasama dengan Presiden dan MT Umno untuk memastikan perubahan dilakukan dengan penuh komitmen, cermat, tersusun dan bijaksana.

Sudah semestinya Umno sebagai parti terbesar di parlimen, kita kekal berintegriti dan berwibawa.

Sebagai pembangkang, Umno wajib berani, tegas dan tegar membela Islam, bumiputera, kedaulatan Raja-raja Melayu, perlembagaan dan keluhuran undang-undang.

Roh dan falsafah Umno akan terus dipertahankan, manakala pendekatan dan amalan wajib diubah.

Konsep dan penyertaan Umno dalam Barisan Nasional (BN) perlu disemak.

Prinsip muafakat antara kaum perlu diperbaharui, malah cara parti memandang ke hadapan perlu pragmatik dan meneliti pelbagai 'option' yang ada demi mencapai cita-cita membela agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Yang paling penting, ini boleh dicapai dengan mendapat mandat ahli secara bersama dan penuh kebijaksanaan.

Umno sambil direkayasa dan diperkasa, pintu dan jendela kepimpinannya harus dibuka luas kepada pewaris muda kerana merekalah harapan kita agar Sang Saka Bangsa terus dijulang Sang Setia yang berjuang dalam saf tersusun rapi.

Berakal panjang, berakar tunjang.

Untuk itu, saya memohon sokongan semua perwakilan seramai 150,000 orang daripada 22,000 cawangan seluruh negara.

Semoga mandat ini menjadi azimat perjuangan yang keramat. Membujur lalu, melintang patah. Kepada Allah swt saya berserah.


TAN SRI ANNUAR MUSA Merupakan anggota parlimen Ketereh

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.