Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man bakal berdepan saingan empat penjuru dalam mempertahankan jawatan ketua Umno bahagian Kangar pada pemilihan parti itu, 30 Jun ini.

Beliau akan dicabar oleh naib ketua Umno bahagian, Azahar Ahmad selain dua calon lain iaitu Azahar Hassan dan Zulkefly Wahab.

Bagi jawatan timbalan ketua Umno bahagian Kangar pula antara yang bertanding adalah Exco Pemuda Umno, Fathul Bari Mat Jahya, ADUN Sena, Datuk Abdul Jamil Saad dan Abu Bakar Sadiqin Hazim.

Penyandang jawatan itu, Datuk Azam Rashid tidak mempertahankan jawatan berkenaan.

Sementara itu, di Bahagian Arau, anak kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim iaitu Ameer Shafiq tidak layak bertanding jawatan ketua pemuda.

Ini menyaksikan Syed Atif Syed Abu Bakar menang tanpa bertanding.

Difahamkan Ameer Syafiq tidak layak bertanding selepas keahliannya di dalam parti tidak melebihi tempoh tiga tahun sekali gus gagal memenuhi antara syarat pertandingan.

Syed Atif yang juga adalah Ketua Pemuda Umno Perlis memegang jawatan ketua Pemuda Umno bahagian Arau sejak tahun 2013.

Politik Umno di Perlis bergolak selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu sekali pun BN berjaya memenangi 9 daripada 15 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tidak memberikan perkenan baginda terhadap calon Shahidan, iaitu adiknya Datuk Ismail Kassim sebagai menteri besar. Baginda sebaliknya memilih ADUN Bintong, Azlan Man sebagai menteri besar.