Terdapat peluang besar untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan antara Georgia dengan Malaysia, paling berpotensi adalah dalam sektor pertanian, tenaga dan pelancongan, kata Duta Besar Georgia ke Malaysia, Nikoloz Apkhazava.

Pengalaman dan kejayaan Malaysia khususnya, di sektor perhotelan dan pembangunan resort, membantu Georgia untuk membangunkan industri pelancongan, terutama pembinaan resort dan hotel bagi menampung peningkatan permintaan pelancong.

Beliau berkata, selain itu infrastruktur yang terdapat di negaranya juga akan menarik pelaburan dari syarikat Malaysia.

Pada tahun lepas jumlah perdagangan antara kedua-dua negara bernilai US$10.6 juta, ia dijangka meningkat dalam tempoh dua hingga tiga tahun, kata Apkhazava kepada Bernama dalam temu bual di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hubungan diplomatik Georgia dan Malaysia bermula pada 7 Mei 1993, dan tahun ini kedua-dua meraikan ulang tahun persahabatan ke-25.

Georgia mula membuka kedutaannya di Malaysia pada 2013 dan Apkhazava menjadi duta pertama.

Duta itu berkata, matlamat untuk memperluaskan lagi perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara boleh dicapai, memandangkan penekanan kerajaannya terhadap memperkuatkan hubungan dengan anggota ASEAN terutama Malaysia dan Indonesia.

Ia termasuk merangsang hubungan diplomatik, dan langkah-langkah untuk meningkatkan perdagangan serta pelaburan dua hala.

Apkhazava berkata kerajaannya juga amat berminat mengaktifkan hubungan dengan negara ASEAN dan menumpukan kepada promosi peluang perdagangan selain aktif melibatkan diri bagi menarik pelaburan serta modal ke Georgia dan sebaliknya.

Di samping itu katanya, kekayaan sumber hidrokuasa dan pertanian di Georgia turut menawarkan peluang pelaburan kepada syarikat Malaysia.

Industri pelancongan Georgia yang pesat berkembang merupakan antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan lebih 7.5 juta pelancong melawat negara itu tahun lepas.

Industri pelancongan yang berkembang pesat, membolehkan negara di pergunungan Caucasus itu mencari kesempatan mewujudkan pusat peranginan baharu untuk menampung kedatangan pelancong.

Ia sekaligus memberi peluang perniagaan yang besar kepada syarikat Malaysia termasuk usahawan kecil dan sederhana.

Warga Malaysia menikmati visa perjalanan ke Georgia percuma sehingga 360 hari, manakala rakyat Georgia menikmati visa percuma ke Malaysia sehingga 30 hari.

Apkhazava berkata syarikat Georgia juga berminat untuk memasuki pasaran Malaysia, dan terdapat rancangan untuk mengembangkan ekspot produk pertanian negara iaitu anggur serta kacang.

Georgia mengeluarkan lebih 500 jenis anggur dan merupakan pengeluar hazelnut keempat terbesar di dunia.

"Potensi kerjasama ekonomi kedua-dua negara adalah luas serta pelbagai, terdapat juga potensi besar untuk kerjasama budaya, mengukukuhkan hubungan pendidikan, aktiviti pertukaran belia dan sukan," kata Apkhazava.

Komitmen Georgia terhadap pembaharuan ekonomi sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadikan negara itu sebagai destinasi pelaburan menarik, ditambah dengan persekitaran mesra perniagaan, kepelbagaian industri, kedudukan geografi strategik antara Eropah dan Asia, undang-undang liberal dan buruh, zon ekonomi bebas, anti -rasuah serta kemudahan menjalankan perniagaan.

- Bernama