Wartawan veteran tanding MT Umno
Timbalan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman adalah antara pemimpin yang menawarkan diri bertanding sebagai anggota Majlis Tertinggi pada pemilihan Umno, 30 Jun ini.
Abdul Rahman, 72 yang turut menawarkan diri bertanding ketua Umno Bahagian Parit Buntar berkata beliau membuat keputusan untuk kembali aktif dalam politik kerana menyedari keperluan memulihkan imej parti itu yang tercalar akibat mainan persepsi parti lawan.
Berbekalkan pengalaman selama lebih enam tahun membantu memulihkan imej kerajaan dan parti melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara ekoran krisis kewangan Asia 1997/98, beliau yakin dapat menyumbang ke arah pemulihan parti.
Abdul Rahman berkata beliau juga mempunyai pengalaman dalam dunia kewartawanan serta bidang berkaitan selama 52 tahun dan menjadi pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dari 2010 hingga 2016.
"Bagi saya Umno sebagai parti orang Melayu dan Islam yang tertua dan terbesar di negara ini wajib dipulihkan sebagai bukan sahaja parti politik tetapi juga institusi yang berwibawa, dihormati dan disegani oleh semua pihak.
“Sebagai sebuah institusi, parti ini tidak boleh dibiarkan berkubur tanpa nisan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Ketua Setiausaha Sekretariat Pemilihan Umno Datuk Norazuwan Aziz berkata senarai akhir calon yang akan bertanding pada pemilihan Umno akan diketahui esok selepas selesai proses saringan termasuk dari segi insolvensi terhadap semua calon yang menghantar borang pencalonan.
Seramai 615 anggota Umno mencalonkan diri untuk bertanding pelbagai jawatan dalam Majlis Tertinggi dan sayap parti peringkat pusat selepas pencalonan ditutup pada 5 petang, Ahad lalu.
- Bernama

