Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa seorang pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memohon maaf kepada Anggota Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun dalam isu membabitkan bazar Ramadan di Jalan Masjid India.

Ini berikutan Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Anwar Mohd Zain mendakwa dipaksa meluluskan permohonan lot bazar berkenaan kepada pemimpin Pemuda BERSATU, Mohd Noorhisyam Abd Karim selepas menerima surat sokongan daripada Fong.

Lim menuntut Anwar memberikan penjelasan mengenai dakwaan berkenaan.

"Macam mana dia (Fong) paksa? Adakah Fong menggunakan kata-kata yang mengugut dalam surat sokongan kepada Anwar?

"Atau adakah sesiapa pun menggunakan apa-apa isyarat yang mengugut terhadapnya untuk mengeluarkan gerai-gerai tambahan?"Soal Lim ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Minggu lepas, Noorhisyam terlibat dalam skandal terbabit selepas orang tengah yang mewakili pihaknya didakwa menjual lot-lot bazar di Jalan Masjid India sehingga RM5,000.

Fong turut diheret dalam skandal itu selepas Noorhisyam didakwa mendapat surat sokongan daripadanya untuk mendapatkan kelulusan DBKL bagi mendapatkan lot berkenaan.

The Star kemudian menyiarkan laporan bertajuk "DBKL: We were forced to approve Bersatu youth leader's application".

Dalam laporan itu, Anwar dipetik sebagai berkata DBKL memberikan kelulusan kepada Noorhisyam setelah mendapat surat sokongan daripada Fong.

Lim bagaimanapun memetik surat dari Anwar kepada Noorhisyam, di mana pengarah DBKL itu berkata selepas perbincangan antara Fong dan DBKL, Dewan Bandaraya itu bersetuju memberikan lot bazaar kepada ketua Pemuda BERSATU Bukit Bintang itu sekiranya mendapat surat sokongan daripada anggota parlimen.

"Jadi dengan kata lain Anwar memaksa Fong mengeluarkan surat sokongan, dan sekarang sebaliknya kata dia dipaksa.

"Jadi, saya mahu dia meminta maaf secara terbuka kepada Fong kerana memberikan gambaran buruk kepada beliau," kata anggota Parlimen Kepong itu.

Malaysiakini cuba menghubungi Anwar untuk mendapatkan penjelasan.

Lim bercakap kepada media selepas menemani Fong membuat laporan polis berhubung skandal di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Fong menafikan menerima apa-apa sogokan dari penjualan lot berkenaan.

Pada masa sama, Noorhisyam telah membuat laporan polis pada Isnin lalu menafikan beliau telah menjual lot bazar berkenaan kepada peniaga.

BERSATU telah membuat laporan SPRM terhadap Noorhisyam.

 

Lihat Komen
ADS