Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BERSATU Perlis tolak hasrat Ismail Kassim sertainya
Diterbitkan:  Jun 20, 2018 1:41 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Tindakan ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim keluar daripada Umno dan berhasrat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah sesuatu yang tidak logik.

Pengerusi BERSATU negeri, Ameir Hassan berkata 'musuh di medan perang' tidak akan boleh duduk semeja selepas apa yang berlaku kerana sebelum ‘bertempur’ (dalam Pilihan Raya Umum ke-14 [PRU14]) ruang sudah terbuka luas untuk mereka sama-sama berjuang, namun peluang itu tidak direbut.

“Tidak mungkin kami (BERSATU) akan bekerjasama dengan musuh yang telah membunuh ramai teman-teman seperjuangan kami semasa di medan perang dahulu (PRU14). Dia sudah bunuh kawan-kawan kami tiba-tiba nak sertai kami pula?

“BERSATU Perlis sudah mempunyai pemimpin berwibawa yang mencukupi dan kami tidak memerlukan ilmu-ilmu songsang yang dipraktikkan Umno untuk dibawa masuk ke dalam perjuangan kami.

"Kalau betul-betul nak berjuang untuk rakyat, minta adakan semula pilihan raya untuk dapatkan mandat rakyat," katanya kepada Bernama, hari ini.

Ameir berkata hasrat Timbalan Ketua Umno Bahagian Arau itu untuk melompat parti juga tidak akan dapat menyelesaikan sebarang masalah namun sebarang keputusan muktamad mengenai perkara itu tertakluk kepada kepimpinan BERSATU di peringkat pusat.

Lewat malam tadi, Ismail memaklumkan beliau keluar Umno selepas hilang keyakinan terhadap pucuk kepimpinan parti dan menjadi wakil rakyat bebas dan keputusan itu demi kepentingan rakyat apabila beliau perlu menjalin hubungan dengan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) selain memaklumkan akan menyertai BERSATU dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, Ameir yang juga Pengerusi HARAPAN Perlis berkata BERSATU di peringkat negeri akan meneruskan perjuangan mereka dengan cara tersendiri dan akan bertindak sebagai pembangkang yang bijak di negeri ini.

“Kami juga yakin akan mencapai kemenangan bersih pada pilihan raya umum akan datang kerana pada PRU14 kami hanya kalah tipis," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS