Anggota Jumaah Pangkuan Diraja Pahang meninggal dunia
Anggota Jumaah Pangkuan Diraja Pahang Datuk Seri Halim Ibrahim meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur, 8.45 malam tadi akibat kanser sarcoma tahap empat.
Beliau berumur 70 tahun.
Anak ketiganya, Hezli Imin Halim, 37, berkata ayahnya disahkan menghidap kanser itu tiga bulan lalu dan menjalani rawatan intensif di HUKM dan keadaannya semakin tenat selepas itu.
Arwah meninggalkan seorang isteri Datin Seri Norihan Abdul Jamal, 61, dan lima orang anak.
"Kami sekeluarga reda dengan pemergian bapa. Jenazah dibawa pulang ke rumah di Kubang Buaya, Kuantan semalam untuk urusan jenazah sebelum dibawa ke sini," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Pekan, hari ini.
Jenazahnya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Sultan Ahmad Shah di sini pukul 11 pagi.
Hezli Imin Halim juga menjunjung kasih kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang berkenan mencemar duli melawat ayahnya di HUKM pada 9 Jun lalu.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga turut melawat arwah semasa sedang menerima rawatan di HUKM pada 17 Mei lalu.
- Bernama

