Penganjur majlis minum teh kontroversi rancang sambutan hari lahir Dr M
Pada 2001, Pengerusi Gabungan Persatuan Pedagang Cina, Liew Poon Siak menganjurkan majlis minum teh kontroversi untuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu menjawat jawatan perdana menteri.
Media melaporkan bahawa teh premium berkenaan berharga sehingga RM2,500 sekilo ketika itu.
Majlis berkenaan yang dianjurkan dengan bantuan bekas pembantu politik Dr Mahathir, Mathias Chang, mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk veteran MCA dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

MCA mengkritik penganjur kerana memakaikan dua pelajar sekolah dengan pakaian Manchurian dengan rambut bertocang dan menghidangkan teh kepada Dr Mahathir.
"Menyimpan tocang bukan budaya kita. Lelaki berbangsa Cina menyimpan rambut tocang kerana mereka dipaksa selepas Manchurian menawan negara mereka," kata MCA.
Sementara Lim pula menggambarkan majlis berkenaan sebagai berunsur feudalism.
Kini, dengan Dr Mahathir kembali menjadi perdana menteri, Liew dilaporkan merencana untuk membuat majlis bagi meraikan hari lahir ke-93 Dr Mahathir pada 23 Julai depan.
Menurut laporan Sin Chew, Liew dan Presiden Dewan Himpunan Cina (KLCAH) Chai Kee Kan telah berjumpa Dr Mahathir dan menerima kelulusan menganjurkan majlis berkenaan.

KLCAH merupakan kumpulan serpihan Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor. KLCAH ditubuhkan oleh Liew pada 2003.
Perkara ini juga menjadi kontroversi susulan dakwaan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mempercepatkan pendaftaran KLCAH sebelum Dr Mahathir bersara sebagai perdana menteri.
Laporan Sin Chew itu juga menyatakan Dr Mahathir "teruja untuk meraikan hari kelahirannya dengan masyarakat Cina itu."
Majlis berkenaan dikatakan akan dianjurkan bersama tiga persatuan Cina yang lain.
Malaysiakini sedang cuba mendapat pengesahan dengan Pejabat Perdana Menteri tentang laporan berkenaan.

