Penulis blog kontroversi Papagomo berkata calon Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak serius pun untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti hujung bulan ini.

“Datuk Jamal ini saya rasa dia ini berlawak saja. Dia berlawak, dia main-main dan tak serius nak bertanding pun.

“Dan kalau kita tengok sampai sekarang pun dia tak balik lagi,” kata Papagomo yang nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Jamal setakat ini masih tidak dapat dikesan selepas menghilangkan diri semasa proses ikat jamin di sebuah hospital di Ampang pada penghujung Mei lalu.

Papagomo, yang juga bakal calon exco Pemuda Umno, berkata tumpuan hanya pada tiga pesaing iaitu Ketua Pemuda Umno Pahang Datuk Mohd Shahar Abdullah, Naib Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun dan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Setakat ini, sembilan orang dijangka berentap untuk menggantikan Khairy Jamaluddin yang mencuba nasib sebagai presiden Umno.

Calon-calon lain ketua Pemuda adalah:

  • Syed Rosli Syed Harman (Pandan)
  • Mohd Nor Izzat Mohd Johari (Hulu Selangor)
  • Khairul Azwan Harun (Pasir Salak)
  • Wan Md Hazlyn Agyl Wan Hassan (Seputeh)
  • Abdul Razak Mohd Yusof (Tanjung Malim)
  • Irwan Azhar Amin (Bangi)

Senarai akhir calon pemilihan Umno yang dijadual diumum hari ini setelah ditangguhkan dua hari lepas.