Shabery: Ku Li, Zahid dan KJ sama-sama ada kelebihan
Menyandarkan asal-usul punca kekalahan Umno kepada dasar yang diterapkan Tun Dr Mahathir Mohamad puluhan tahun lalu, seorang anggota majlis tertinggi parti itu berkata pemilihan kali ini umpama sebuah pesta besar yang boleh menguntungkan Umno.
Kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, matlamat itu boleh tercapai dengan syarat semua pihak tidak mengeluarkan kata-kata kesat atau saling menyindir lawan.
Malah calon BN yang kalah di kerusi parlimen Kemaman itu saingan jawatan dalam Umno kali ini akan mengubah pola politik Melayu di negara ini.
Katanya, politik mengelak daripada menyanggah pemimpin akan diberikan takrifan baru melalui "pesta" dalaman Umno berkenaan.
Bekas menteri itu berkata ramai berpendapat tiga calon utama bagi jawatan presiden - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar - sepatutnya berbincang bagi mengelak pertandingan
"Di saat kapal yg hampir karam, berebut (menjadi) nakhoda bukan penyelesaian.
"Namun ramai pula yang berkata, Umno sudah lama dilanda sindrom alergi kepada pertandingan. Tradisi (ini) bermula (sejak) zaman Mahathir-Anwar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Shabery langkah menyukarkan jawatan tertinggi parti ditandingi bukan jaminan Umno kekal bersatu.
"Mahathir-Anwar pecah, Mahathir-Ghafar pecah, Najib-Muhyudin pecah. Dan paling terakhir, resolusi tiada tandingan Najib-Zahid pun antara penyebab Umno ditolak," katanya merujuk kepada keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang diadakan pada 9 Mei lalu.

Sejak sekian lama tradisi Umno ialah mengelak jawatan tertinggi parti ditandingi atas alasan supaya perpaduan sesama anggota parti terpelihara.
Kali terakhir jawatan presiden Umno dicabar ialah pada 1987 apabila Tengku Razaleigh cuba mengetepika Dr Mahathir. Perebutan itu berakhir dengan pengharaman Umno, serta lahirnya Parti Melayu Semangat 46.
Tengku Razaleigh ialah presiden parti itu dan Ahmad Shabery menjadi salah seorang pemimpin kanannya. Bagaimanapun parti itu berkubur apabila hampir semua pemimpinnya menyertai Umno semula pada 1996.
Kata Ahmad Shabery pertandingan merebut jawatan presiden Umno seumpama persaingan sebuah keluarga.
Katanya Tengku Razaleigh boleh dianggap sebagai ayah, manakala Ahmad Zahid menjadi abang sulung. Khairy pula boleh dianggap sebagai adik bongsu.
"Semua disayangi. Masing-masing membawa misi yg sama (iaitu) menyelamatkan keluarga yag terancam.
"Ayah ada kebijaksanaan. Abang Long menganggap ini tanggungjawabnya mengganti nakhoda menyelamatkan kapal yang hampir tenggelam.
"Bagi adik bongsu yag gagah perkasa, dialah penggalang tubuh menangkis apa jua bahaya mendatang," katanya.

