Kunjungan Menteri Kewangan Lim Guan Eng ke China akan menjadi kunjungan penting dalam ekspedisi mengumpul fakta dan mendengar pandangan kerajaan republik itu berhubung pengkajian semula perjanjian projek, kata Dr Rais Hussin.

Rais yang merupakan ketua dasar dan strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata kunjungan itu adalah untuk mengumpul fakta dan mencari jalan tengah dengan China.

"Kebanyakan perjanjian berkenaan adalah bersifat berat sebelah, jadi mesti ada jalan tengah. Kita mahu mengetahui kenapa ada faedah yang tinggi dan beberapa projek menelan kos yang lebih tinggi berbanding projek seumpamanya di negara-negara lain.

"Malaysia dan China sudah menjadi rakan untuk berdekad, sangat tidak bijak jika tidak mewujudkan persefahaman yang lebih kukuh antara kedua-dua negara. Seperti yang kami sebutkan sebeum ini, kita negara yang mesra perniagaan," kata Rais kepada Malaysiakini.

Rais juga menjelaskan bahawa China pernah menjadi mangsa perjanjian yang tidak adil selama berdekad dan mereka akan faham bahawa negara lain tidak akan mahu perjanjian seumpamanya.

Pada 9 Jun, Lim berkata bahawa RM9.4 bilion projek saluran gas akan menjadi antara yang akan dibincangkan dalam kunjungan berkenaan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dalam sidang medianya di Jepun berkata kunjungannya ke Beijing adalah berhubung projek saluran gas berkenaan.

Dr Mahathir juga mendedahkan bahawa beberapa projek meragukan ditandatangani Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), yang dikhuatiri mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB.

[Baca berita penuh]