Nampak tampil mendahului lawan, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini menawarkan pembaharuan buat parti itu jika dia dipilih menjadi presiden hujung bulan ini.

Dalam langkah yang dilihat drastik bagi mengatasi krisis keyakinan ramai terhadap Umno, Khairy berkata, dia akan mewujudkan dua jawatan baru sebagai naib presiden, masing-masing untuk wakil wanita serta Sabah.

Katanya langkah itu dicadangkan sebagai cara menyuburkan kembali amalan demokrasi dalam Umno selepas parti terbabit ditolak majoriti rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei lalu.

“Hari ini seperti ada siling kaca untuk wanita… (justeru) akan ada ketua Wanita Umno yang akan menjaga sayap, tetapi seorang lagi boleh bertanding sampai peringkat naib presiden,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra yang menempatkan ibu pejabat Umno hari ini.

Untuk rekod parti-parti politik di negara ini memang memberikan tumpuan yang besar kepada wanita kerana ia membentuk kumpulan pengundi yang besar serta dapat mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Sabah dan Sarawak pula pernah dianggap deposit tetap buat BN kerana memberikan kerusi yang banyak bagi membolehkan mereka kekal berkuasa di Putrajaya. Justeru parti politik berlumba-lumba memberikan tawaran menarik kepada kedua-dua negeri terbabit untuk mendapatkan sokongan.

Keadaan berubah pada 9 Mei lalu apabila majoriti pengundi Sabah memilih untuk menyokong Parti Warisan Sabah yang memihak kepada Pakatan Harapan.

Runtuhnya BN di Putrajaya juga menyaksikan BN Sarawak berkubur.

Tiada tangguh-tangguh lagi

Ketika ini Umno mengiktiraf jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita setaraf naib presiden parti.

Menurut Khairy langkah memberikan tempat kepada wanita sebagai naib presiden - selain kuota ketua Wanita Umno itu - dibuat untuk mengiktiraf golongan terbabit sebagai pemimpin yang boleh berperanan di peringkat nasional, selain membantu mencapai 30 peratus penglibatan golongan itu dalam kepimpinan utama parti.

Bagi jawatan naib presiden untuk Sabah pula, Khairy yang juga anggota parlimen Rembau berkata, ia bertujuan menjaga kedudukan Umno dan BN di negeri itu, selain menghormati asas penubuhan Malaysia.

Janji lain yang ditawarkan Khairy ialah pemilihan parti mesti diadakan setiap tiga tahun dan tidak boleh ditangguhkan, selain tiada usul atau usaha dibenarkan untuk menghalang pertandingan bagi mana-mana jawatan dalam Umno parti.

Katanya anggota di peringkat akar umbi juga dibenarkan memberi teguran serta kritikan kepada pemimpin parti tanpa sebarang rasa takut atau terancam.

"Teguran dan kritikan kepada pemimpin parti boleh dibuat tanpa mereka perlu risau sama ada akan dipecat," ujar Khairy.

Selain itu, Khairy turut mencadangkan agar sebuah majlis yang dianggotai golongan profesional, ahli akademik serta pertubuhan bukan kerajaan serta ulama ditubuhkan bagi memberi idea kepada pimpinan tertinggi parti tentang isu semasa serta penyelesaiannya.

Selain itu, bekas menteri belia dan sukan itu turut bercadang untuk menubuhkan kabinet bayangan BN sebelum sesi parlimen pada Julai depan bagi memastikan wujudnya amalan semak dan imbang kepada kabinet Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Ketua pembangkang pula akan di undi di kalangan anggota parlimen BN selepas tamat pemilihan Umno bulan ini.

"Presiden Umno yang juga pengerusi BN tak semestinya akan menjadi ketua pembangkang.

"Biar ahli-ahli parlimen BN tentukan siapa yang mereka rasa layak jadi ketua pembangkang," katanya.

Perwakilan ada pilihan

Khairy baru-baru ini membuat kejutan apabila muncul pada saat-saat akhir untuk mencuba nasib menjadi presiden Umno dengan misi mahu membawa parti berkenaan menjadi pembangkang berwibawa.

Kalah dalam pilihan raya umum (PRU) pada bulan lalu, Umno kini bergelut untuk kembali memulihkan maruahnya yang runtuh selepas disingkirkan daripada kuasa oleh Pakatan Harapan.

Justeru kata Khairy dia menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon presiden Umno juga supaya parti itu mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat sekali lagi seperti pernah dinikmati mereka sebelum ini.

"Umno mesti dilihat sebagai parti yang boleh jalankan tugas sebagai pembangkang berwibawa," katanya.

Selain Khairy, lebih awal menyatakan kesanggupan menjadi presiden parti ialah bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini anggota parlimen Bagan Datuk itu ialah naib presiden Umno yang menjalankan tugas presiden ekoran pengunduran Datuk Seri Najib Razak.

Persaingan itu kemudian menjadi lebih menarik apabila kerabat diraja Kelantan yang juga ahli politik veteran, Tengku Razaleigh Hamzah, turut menawarkan diri.

Asalnya Khairy menawarkan diri untuk bertanding merebut satu daripada tiga kerusi naib presiden Umno.

Kata Khairy, 42, dia memutuskan untuk menyertai persaingan peringkat tertinggi selepas mendapat kesedaran perlunya membuat perubahan pada parti Melayu berkenaan.

Katanya dia juga mahu perwakilan mempunyai lebih banyak pilihan selain Ahmad Zahid, 65, dan Tengku Razaleigh, 81.

"Ia akan menentukan hala tuju Umno untuk tahun-tahun akan datang.

"Saya mahu perwakilan mempunyai pilihan yang mewakili setiap generasi yang mewakili pemandangan dunia yang berbeza, idea dan manifesto yang berbeza.

"Saya mahu kembalikan Umno sebagai parti yang mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat. Umno mesti dilihat sebagai parti yang boleh jalankan tugas sebagai pembangkang berwibawa," katanya.