Seorang gadis maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja selepas dihempap dahan pokok tumbang di Jalan Ayer Keroh Lama, Bukit Beruang di Melaka pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, mangsa, Intan Syahira Ahmad Safri, 23, yang menunggang motosikal jenis SYM cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketika itu dia dalam perjalanan dari rumah sewanya di Bukit Beruang ke tempat kerja di sebuah kilang di Ayer Keroh dalam hujan lebat.
Mayat anak kedua daripada empat adik-beradik itu dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supt Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Sementara itu, anggota Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Negeri Mohd Sofi Abdul Wahab berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini perlu mengkaji semula langkah menanam pokok-pokok besar di tepi jalan dan di kawasan taman perumahan.
Anggota Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal itu berkata kelulusan menanam pokok besar di kawasan berkenaan juga perlu disemak semula selain PBT harus bertindak menyelia dan memotong dahan pokok yang dikhuatiri membahayakan nyawa pengguna jalan raya dan rakyat di negeri ini.
“Sudah sampai masanya pokok-pokok besar ditebang dan diganti dengan tanaman pokok-pokok lain yang lebih selamat dan menarik,” katanya.
- Bernama
