Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas tahanan antara perancang sambutan hari jadi Dr M
Diterbitkan:  Jun 21, 2018 8:45 AM
Dikemaskini: 1:18 AM

Ahli perniagaan Tee Yam @ Koo Tee Kam adalah antara tiga "perancang" utama majlis makan malam oleh persatuan-persatuan Cina untuk meraikan ulang tahun ke-93 Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mereka yang lain adalah Presiden kehormat Gabungan Persatuan Pedagang Cina, Liew Poon Siak dan Presiden Persekutuan Persatuan Kwong Siew Malaysia, Ho Sai Chong.

Acara itu akan diadakan pada 22 Julai, sehari sebelum hari ulang tahun Mahathir, di Dewan Besar HXC, ICC Pudu, Kuala Lumpur.

Kira-kira 2,000 orang dijangka menghadiri makan malam yang menyediakan 200 meja itu.

Pada tahun 2005, Koo menjadi tajuk utama apabila beliau dibebaskan dari pusat tahanan Simpang Renggam di mana beliau ditahan tanpa perbicaraan di bawah Ordinan Darurat 1969.

Beliau ditangkap semula kemudiannya.

Mahkamah Persekutuan membebaskan Koo dari tahanan selepas pihak berkuasa gagal menunjukkan sebab penahanannya. Pada masa itu, beliau telah menghabiskan 17 bulan di penjara tanpa sebarang pertuduhan dikenakan kepadanya.

Penahanan semula beliau di bawah undang-undang tidak berlaku lama apabila beliau hanya menghabiskan masa tiga hari dalam tahanan di Bukit Aman.

Pada masa itu, peguam Koo, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata pihak berkuasa menuduh anak guamnya merupakan sebahagian kelompok rahsia (secret society) yang terlibat dalam aktiviti yang memudaratkan ketenteraman awam dan penglibatan dalam jenayah ganas.

Koo menolak dakwaan tersebut dan menuduh pihak berkuasa membuat cerita untuk menyokong penahanannya.

Beliau dipercayai memiliki beberapa restoran dan kelab malam di Kuala Lumpur.

Media Cina, pada masa itu, menggelar Koo sebagai salah seorang daripada "Empat Dewa Syurgawi" di bandar itu sebagai kiasan bagi merujuk beliau sebagai raja 'bawah tanah' .

Koo secara terbuka membantah label itu digunakan oleh media.

Pada tahun 2013, Koo hampir menemui ajal apabila bom yang diletakkan di bahagian bawah kereta Jaguarnya meletup.

Beliau bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Malaysiakini sedang menghubungi Pejabat Perdana Menteri sama ada Mahathir akan menghadiri acara itu.

Lihat Komen
ADS