Panama Papers: Menyelami kejatuhan Mossack Fonseca
PANAMA PAPERS | Pada 9 Mac 2016, kakitangan Mossack Fonseca, sebuah firma guaman Panama yang selama beberapa dekad telah menyimpan rahsia kewangan selebriti, pemimpin dan penjenayah, dikejutkan dengan penemuan bahawa seseorang telah menyalin sejumlah besar data dari komputernya.
Emel, kontrak, penyata bank - 11.5 juta dokumen rekod paling sensitif pelanggan firma itu membabitkan 2.6 terabytes data - telah diambil.
Tiba-tiba, urusan harian menubuhkan syarikat di syurga perlindungan cukai tidak lagi menjadi keutamaan. Sebaliknya, dokumen terbaru Mossack Fonseca yang diperoleh menunjukkan, pekerjanya bekerja keras dalam misi baru: untuk mengetahui siapa pelanggannya.
Sebagai pemain utama dalam dunia kewangan luar pesisir, Mossack Fonseca telah bertahun-tahun melanggar peraturan yang memerlukan peguam dan pakar luar pesisir lain mengenal pasti dan mengesahkan pelanggan mereka, satu syarat yang dikenakan untuk mencegah kegiatan jenayah.
Dalam minggu dan bulan yang akan datang, dokumen-dokumen tersebut menunjukkan, para pekerja Mossack Fonseca telah menghantar emel kepada jurubank, akauntan dan peguam - profesional yang telah mengupah firma itu untuk menubuhkan syarikat untuk pelanggan kaya yang tidak mahu dikenali - dalam usaha untuk menutup 'lubang' dalam penyimpanan rekodnya.

