BERSIH gesa bekas pemimpinnya atau hakim ganti pengerusi SPR
Kumpulan reformasi pilihan raya BERSIH hari ini menggesa kerajaan melantik salah seorang bekas pengerusi badan itu atau bekas hakim untuk menggantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.
Pengerusi BERSIH, Shahrul Aman Mohd Saari berkata SPR perlu diterajui oleh individu yang "kuat dan tegas" untuk melakukan perubahan terhadap sistem pilihan raya.
"Pengerusi-pengerusi BERSIH sebelumnya adalah calon-calon yang sangat baik. Mereka telah melalui banyak perkara tetapi saya tahu mereka sangat berhati-hati tentang ini, mereka bukan orang yang laparkan kuasa.
"Bekas hakim atau hakim yang baik juga merupakan antara orang yang layak dan beberapa hakim yang cukup berani untuk membuat keputusan walaupun (menerima tekanan sebelum ini) di bawah kerajaan BN," katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini.
Shahrul turut ditanya sama ada beliau merujuk kepada bekas presiden Majlis Peguam dan bekas pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan.
Shahrul berkata Ambiga merupakan seorang calon yang baik bagi menduduki kerusi itu tetapi beliau bukan merupakan satu-satunya pilihan yang ada.
"Beliau pasti (seorang calon yang baik) dan saya fikir rakyat Malaysia pun fikir yang sama. Tetapi beliau bukan satu-satunya yang ada.
"Yang penting bukan individu tetapi kriteria (digunakan untuk proses pemilihan)," katanya.
Siapa yang layak?
Shahrul berkata ketiga-tiga kriteria itu adalah: Integriti, bebas dan kepakaran mengenai isu pilihan raya.
Bagaimanapun sama ada Ambiga atau penggantinya Maria Chin Abdullah tidak memenuhi kriteria kedua kerana mereka berkempen untuk Pakatan Harapan (HARAPAN) semasa pilihan raya umum ke-14 lalu.
Maria bertanding di kerusi parlimen Petaling Jaya dan menang di kawasan itu atas tiket HARAPAN.
Walaupun BERSIH tidak menamakan hakim atau bekas hakim pilihan mereka sebagai calon pengerusi SPR, difahamkan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Hishamudin Yunus dikatakan salah seorang calon yang berpotensi memegang jawatan itu.
Shahrul berkata Artikel 114 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa calon bagi kerusi pengerusi SPR harus mendapat kepercayaan dari orang awam.
Aktivis veteran BERSIH, Mandeep Singh pula berkata terdapat keperluan mendesak untuk melakukan pembaharuan pilihan raya dalam jangka pendek memandangkan pilihan raya Sarawak akan diadakan pada tahun 2021.
"Kita tidak boleh menunggu sehingga pilihan raya umum ke-15," katanya.

