Hilang arah. Itulah nasib malang yang sering dihadapi oleh pekerja warga asing yang ditimpa musibah atau menjadi mangsa penipuan majikan setelah dijanjikan dengan pelbagai peluang pekerjaan di negara ini.

Menyedari akan masalah itu, Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) sebagai sebuah yayasan masyarakat sivil menyediakan satu program ‘talian hayat’ dengan mengambil beberapa pendekatan untuk membantu menangani masalah dan isu melibatkan warga asing di negara ini.

Pengerusinya Halim Ishak berkata sebagai langkah awal untuk menjaga kepentingan pekerja warga asing, MCCF mewujudkan program Tabung Amal Warga Perantau untuk mewujudkan pangkalan data warga asing tanpa majikan dan terpinggir di Malaysia.

“Ia memudahkan pihak kerajaan untuk merangka satu kaedah khusus penyelesaian isu yang melibatkan proses perundangan atau bantuan kebajikan.

“MCCF memainkan peranan kemanusiaan dalam memberikan perkhidmatan biro guaman serta pengurusan dan penghantaran pulang jenazah ke negara asal mereka yang tanpa dokumen dan terpinggir ekoran menjadi mangsa penipuan ejen dan sindiket pemerdagangan manusia,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata konsep pelaksanaan gerak kerja bantuan kemanusiaan MCCF terbahagi kepada tiga fasa iaitu pangkalan data, skim Tabung Amal Warga Perantau serta penyelesaian.

Halim berkata secara keseluruhannya, program ini, yang dulu dikenali sebagai Skim Kebajikan Warga Asing, telah melalui proses penjenamaan semula menekankan perspektif pendekatan psikologi sebagai alternatif kepada pendekatan kawalan penguatkuasaan dalam menangani krisis migrasi haram atau pendatang asing tanpa izin.

"Setakat ini, lebih 20,000 warga asing kebanyakannya dari Indonesia dan Bangladesh mendaftar di bawah program Tabung Amal Warga Perantau yang dianjurkan oleh MCCF,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 17 Mei 2016, antara pekerja asing lain yang turut mendaftar adalah dari Filipina, beberapa negara dari Afrika, Timur Tengah dan Amerika Selatan.

Halim berkata usaha itu tidak akan melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan, sebaliknya lebih bersifat kerjasama antara agensi berkaitan dalam bentuk perkongsian kepakaran dan tanggungjawab antara kedua-dua belah pihak.

- Bernama