Kontroversi mengenai lot tapak bazar Ramadan di Kuala Lumpur menunjukkan perlunya pilihan raya kerajaan tempatan diadakan, kata Anggota Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, beliau berkata kontroversi mengenai penyewaan lot bazaar itu timbul akibat dasar pengeluaran lesen sebelum ini.

"Sekiranya DBKL lebih telus dan bertanggungjawab, perkara-perkara seperti yang didakwa tidak akan berlaku," katanya.

Fong turut terheret dalam kontroversi itu selepas menulis surat kepada kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyokong permohonan pemimpin Pemuda BERSATU Bukit Bintang Mohd Noorhisyam Abd Karim bagi mendapatkan 80 lot bazar Ramadan.

Mohd Noorhisyam kemudian menyewakan tapak berkenaan sehingga mencapai sewa RM5,000 setiap lot dan menyebabkan kemarahan orang ramai.

Amalan DBKL pada masa ini adalah memperuntukkan lot bazar kepada parti-parti politik.

DBKL berada di bawah bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan, namun Putrajaya masih belum melantik menteri di kementerian berkenaan.

Fong sebelum ini berkata beliau telah mengeluarkan surat itu kepada Noorhisyam tetapi tidak menyedari percubaan untuk menyewakan lot itu.

Sementara itu, Anggota Parlimen Cheras Tan Kok Wai yang mengiringi Fong, berkata ketidakcekapan DBKL bermakna ramai peniaga kecil terpaksa menghadapi karenah birokrasu dalam menjalankan perniagaan mereka.

"Banyak ketua dan pegawai jabatan (DBKL) yang tidur di tempat kerja. Mereka kurang mempunyai budi bahasa untuk menangani masalah rakyat dan permohonan mereka. Birokrasi juga menghalang banyak pemohon daripada mendapatkan bantuan kebajikan sosial," katanya.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin berkata Putrajaya berhasrat mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan.