Papagomo: 'Gandingan Rembau' untuk perubahan Umno
Lobi-melobi telah bermula menjelang pemilihan Umno hujung bulan ini.
Bagi penulis blog kontroversi Papagomo, beliau memilih “gandingan Rembau” sebagai calon pilihannya untuk merebut jawatan presiden dan timbalan presiden Umno.
Beliau secara terbuka mengaku menyokong Ketua Pemuda Umno Khairy Jamalauddin untuk jawatan presiden dan bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan sebagai gandingan kepimpinan baru.
“Mungkin ini berlaku dalam sejarah Umno, bahawa perubahan bermula di Rembau. Mungkin ini (berlaku), kita tak tahu.
“Kita kena tengok, sejarah Umno ini wujudnya di negeri Johor. Bila negeri Johor tumbang, Umno tumbang seluruh Malaysia. Walaupun Umno mepunyai kerusi paling banyak tapi kita kalah sebagai sebuah kerajaan.
“Dan mungkin perubahan bermula di Rembau, yang presiden orang Rembau dan timbalan orang Rembau. Kita tak tahu,” kata Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Khairy dan Mohamad adalah ketua dan timbalan ketua Umno Rembau.
Khairy akan berdepan pemangku presiden Datuk Seri Zahid Hamidi, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan empat lagi calon tidak terkenal.
Mohamad pula berdepan saingan hebat Ketua Penerangan Umno Annaur Musa untuk jawatan timbalan presiden.
Bercakap kepada Malaysiakini, beliau berkata berkata memilih Khairy kerana keterbukaannya, termasuk memilih pegawai pelbagai bangsa semasa menjadi menteri belia dan sukan.
“Dan aspek ini merupakan satu perkara yang jelas bahawa untuk menjadi pemimpin dalam Malaysia ini, kita perlu duduk dan bekerjasama dengan semua kaum,” katanya.
Zahid pula, katanya, memang setia pada Umno dan menghadapi pelbagai dugaan tetapi beliau berdepan dengan persepsi yang terlalu banyak.
Lebih-lebih lagi, katanya, apabila kerajaan baru akan menyiasat kes-kes di Kementerian Pertahanan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Zahid.
Berkaitan Tengku Razaleigh pula, kata Papagomo, beliau mengaku tertarik pada veteran Umno itu pada mulanya dengan kebijaksanaannya tetapi bertukar fikiran selepas Khairy turut serta.
“Kita kena lihat bahawa tentang pengundi muda, yang orang muda mahukan orang muda sebagai pemimpin,” katanya.

